Pakej rangsangan ekonomi komprehensif, bersasar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakej rangsangan ekonomi dengan peruntukan berjumlah RM20 bilion yang diumumkan kerajaan semalam bagi mengurangkan impak serta-merta terhadap ekonomi akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) disifatkan sebagai sangat komprehensif.

Pensyarah Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, menerusi pakej itu, beliau melihat kerajaan amat menitikberatkan setiap aspek terutama bagi memastikan golongan sasar menerima dan memanfaatkan apa yang diberikan.

Menurutnya, pakej rangsangan ekonomi itu juga dilihat lebih baik daripada pakej yang diperkenalkan kerajaan Hong Kong kelmarin dan Singapura pada minggu lalu bagi menangani isu yang sama.

"Apabila saya buat perbandingan pakej rangsangan ekonomi Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut, memang kita jauh lebih baik.

"Kerajaan kita tidak beri secara pukal dan memang menyasarkan jenis pekerjaan individu yang dibantu. kerajaan juga memastikan setiap bantuan diberikan akan dibelanja rakyat bagi memastikan duit akan masuk semula ke dalam pasaran," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ahmed Razman berkata, peruntukan sebanyak RM20 bilion itu merupakan jumlah yang sangat tinggi berbanding yang diperuntukkan kerajaan Singapura sedangkan negara mereka lebih teruk terjejas berbanding Malaysia.

"Ia juga menunjukkan komitmen tinggi kerajaan yang sanggup berbelanja bagi memastikan impak Covid-19 ditangani dan paling penting dapat meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Bantuan yang diberikan dapat merancakkan projek infrastruktur supaya bukan sektor yang terkesan secara langsung sahaja dibantu tetapi sektor lain tidak dipinggirkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengenalan pakej rangsangan ekonomi ini wajar dipuji dan rakyat Malaysia juga bernasib baik kerana ia sudah dirangka sebulan lebih awal.

"Walaupun kerajaan kini berada dalam ketidaktentuan, pakej tersebut yang sudah dirangka awal masih boleh dilancarkan," katanya.