Lambakan tembikai punca harga jatuh hingga 99 sen sekilogram

ALOR SETAR - Harga tembikai di pasaran kini mengalami penurunan mendadak hingga 99 sen sekilogram berikutan lambakan buah tersebut pada musim ini.
Pemilik gerai jualan tembikai, Aizuddin Md Shapere, 33, berkata, penurunan harga berlaku susulan bekalan tembikai membanjiri pasaran ketika ini.
Ini kerana katanya, tembikai tempatan dari empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mengeluarkan hasil serentak pada musim ini.

“Jadi untuk mengelakkan kerugian, saya mengambil keputusan menurunkan harga jualan hingga 99 sen sekilogram sejak minggu lalu.
“Harga itu saya tawarkan untuk semua jenis gred buah dari A, B dan C iaitu yang seberat 3 kilogram (kg) hingga 10kg,” katanya ketika ditemui di gerainya di tepi jalan utama di Tandop di sini pada Jumaat.
Menurutnya, harga yang ditawarkan itu juga berbeza berbanding tahun lalu apabila ia dijual pada harga antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram.
“Bagaimana pun lambakan yang berlaku ini secara tidak langsung memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan tembikai pada harga jauh lebih murah berbanding tahun-tahun sebelumnya
“Konsep yang saya bawa pada musim ini lebih kepada berniaga sambil bersedekah sempena mengambil keberkatan Ramadan juga,” ujarnya.
Katanya, walaupun dijual pada harga murah namun dia masih dapat menikmati keuntungan kerana kos pengambilan buah dari kebun juga jauh lebih rendah pada tahun ini.

“Tahun lepas modal pun tinggi, jadi paling murah boleh jual RM3.50 sekilogram. Tapi tahun ni beli dari kebun pun murah, tak sampai RM1 lebih. Jadi sebab itu kami boleh buat potongan harga macam ni,” jelasnya.
Aizuddin yang sudah 11 tahun menjual tembikai berkata, bekalan diperoleh daripada rakannya yang mengusahakan ladang tembikai di Kelantan, Terengganu dan Perlis.
“Gerai saya beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 9 malam. Alhamdulillah, pada bulan Ramadan ini sambutan pelanggan sangat baik ada yang beli untuk infak dan sebagainya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga tembikai, Alia Natasya, 24, turut mengakui lambakan tembikai musim ini menyebabkan lebih ramai peniaga yang mengambil kesempatan untuk menjual buah berkenaan.

“Musim ni, sejak seminggu sebelum puasa dah ada stok tembikai. Buah banyak, jadi ramai juga penjual yang ambil peluang untuk sama-sama cari rezeki.
“Untuk perniagaan saya sendiri, saya dah ambil tujuh tan buah untuk jualan musim ini,” katanya.
Menurut Alia, cuaca panas sebelum Ramadan juga menyebabkan buah tembikai musim ini lebih manis dan berkualiti.
“Tembikai tahun ini insya-ALLAH rasanya manis sebab cuaca panas sebelum ini. Buah gred A boleh capai 11kg. Saya jual antara RM2.50 hingga RM4 sekilogram, ikut saiz dan kualiti,” ujarnya.
Tambahnya, selain tembikai buah timun betik juga mendapat permintaan tinggi sepanjang Ramadan ini.
“Bulan puasa ini timun betik paling laris. Buah ini setahun sekali sahaja musimnya dan popular di Pantai Timur.
“Setakat ini saya dah ambil 500kg buah ini dan saya jual pada harga RM8 sekilogram, sekarang cuma tinggal beberapa biji saja lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
