Krisis bekalan telur landa Australia

SYDNEY - Wabak selesema burung yang melanda beberapa ladang ternakan di Victoria, Australia, sejak Februari lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna bahawa krisis bekalan telur akan berpanjangan.
Wabak terbaharu ini adalah berasingan daripada insiden pada 2024 yang sebelum ini melumpuhkan industri telur, menyebabkan rak pasar raya kosong dan mencetuskan kekurangan bekalan di seluruh negara.
Meskipun wabak terdahulu telah berjaya dikawal, kesannya masih dirasai, dan pasar raya utama di Australia merancang untuk terus mengenakan had pembelian berikutan perkembangan terbaharu ini.
Pengarah Urusan Australian Eggs, Rowan McMonnies berkata, bahawa walaupun bekalan telur masih terjejas, industri telur di Australia tidak mengalami kejatuhan sepenuhnya.
"Industri masih mampu membekalkan 18 juta biji telur setiap hari dan sedang pulih dengan baik daripada kejadian pada 2024," katanya kepada 9News.
"Namun, wabak terbaharu pada Februari telah menambah lagi gangguan kepada bekalan telur, menyebabkan usaha pemulihan yang sedang berjalan menjadi lebih mencabar," tambahnya.
Bagaimanapun, McMonnies menjangkakan pengguna bakal melihat peningkatan dalam bekalan menjelang akhir tahun ini.
Kekurangan bekalan sejak enam bulan lalu telah menyebabkan harga telur meningkat sehingga 30 peratus. Namun, apabila bekalan kembali stabil, harga dijangka turun semula.
"Seperti dalam mana-mana industri lain, harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran, dan kami menjangka isu bekalan ini akan beransur pulih sepanjang tahun," jelas McMonnies.
Sementara itu, jurucakap pasar raya Coles mengesahkan kepada 9News bahawa sekatan pembelian telur akan dikekalkan sementara pemantauan terhadap wabak di Victoria diteruskan.
"Kami akan terus bekerjasama dengan pembekal bagi memastikan bekalan telur dapat disediakan untuk pelanggan.
"Kami juga menggesa pelanggan agar membeli secara berpatutan supaya semua orang dapat memperoleh bekalan yang mencukupi," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
