Larangan papar rokok jejas pendapatan peniaga, peruncit

Mulai 1 April 2025, produk tembakau tidak lagi boleh dipamerkan secara terbuka di kedai di beberapa negeri.
Mulai 1 April 2025, produk tembakau tidak lagi boleh dipamerkan secara terbuka di kedai di beberapa negeri.
A
A
A

PADA tahun 2025, perniagaan Malaysia, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), menghadapi begitu banyak cabaran antaranya, ketidaktentuan ekonomi, inflasi, kekurangan tenaga kerja, dan potensi kesan dasar kerajaan seperti rasionalisasi petrol dan e-invois.

Malah, inflasi kos input dijangka kekal sebagai halangan utama pada 2025, kerana perniagaan berusaha untuk mengimbangi peningkatan kos operasi.

Sementara fokus baik diberikan oleh Putrajaya dalam membantu usahawan PKS, beberapa dasar seolah-olah tidak senada seirama.

Kementerian Kesihatan (KKM) pula kelihatan kemaruk menonjolkan diri mengetatkan perundangan secara tergesa-gesa, bagai mengejar KPI peribadi semata-mata?

Isu kekurangan jururawat dan doktor di hospital, isu jadual bekerja belum selesai tetapi KKM mahu mencurahkan sumber-sumbernya untuk laksanakan Akta 852. Tidak cukup dengan itu, suara peniaga, peruncit tidak diendahkan.

Akta Kawalan Produk Merokok

Mulai 1 April 2025, produk tembakau tidak lagi boleh dipamerkan secara terbuka di kedai di beberapa negeri.

Langkah itu selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang melarang paparan tempat jualan produk merokok di kedai makan dan kedai runcit.

Artikel Berkaitan:

Akta tersebut, yang dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024, meliputi peraturan mengenai pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.

Akta 852 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini juga termasuk larangan paparan semua produk tembakau dan vape di kedai runcit.

Idea di sebalik peraturan ini bagus, terutama dalam usaha mengurangkan gejala merokok.

Itu tidak menjadi isu. Apa yang menjadi isu ialah tindakan itu bakal memberi kesan kepada peruncit, pekedai dan seumpamanya.

Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) bimbang terhadap cadangan larangan paparan untuk produk tembakau dan vape dengan menganggarkan unjuran kos pelaksanaan sebanyak RM200 juta.

Anggaran itu berdasarkan tinjauan pendapat baru-baru ini yang dijalankan dalam kalangan ahli FSGMAM untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan langkah yang akan diperkenalkan di bawah Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tidak lama lagi.

Tinjauan yang mendapat maklum balas daripada 256 ahli itu mendedahkan, majoriti menolak cadangan larangan untuk produk tembakau dan vape dipamerkan secara runcit iaitu sebanyak 96.9 peratus, dengan responden menganggarkan bahawa setiap premis runcit perlu membayar sehingga RM5,000 untuk membuat pelarasan bagi mematuhi larangan tersebut.

Dianggarkan terdapat seramai 40,000 peruncit terlibat dalam penjualan produk tembakau dan vape di seluruh negara.

Presiden FSGMAM, Hong Chee Meng berkata, majoriti ahli menyuarakan tentangan mereka terhadap larangan yang dicadangkan itu ekoran kesan negatif yang bakal dihadapi sektor runcit.

“Peruncit sudah pun bergelut dengan tekanan inflasi, penurunan kuasa perbelanjaan pengguna akibat kenaikan kos barang.

“Cadangan larangan paparan, dan kesan kewangan yang berkaitan, hanya akan memburukkan lagi keadaan ini. Potensi penurunan hasil adalah ancaman serius kepada mata pencarian ahli kami,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, Akta 852 jelas tidak disokong oleh peruncit dan pekedai.

“Ramai pemilik kedai serbaneka, kiosk dan peruncit kecil sudah beroperasi pada margin keuntungan yang tipis. Langkah ini boleh mendorong mereka ke arah masalah kewangan atau penutupan,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM itu menambah, banyak peruncit kecil bergantung kepada trafik pejalan kaki daripada pembeli rokok.

“Jika produk ini tidak lagi kelihatan, jualan impuls akan menurun, membawa kepada pengurangan kunjungan pelanggan dan hasil yang lebih rendah merentas semua produk, bukan hanya tembakau,” ujarnya.

Persoalan utama lain kata Wan Mohd Farid ialah, ketika rokok dihadkan dengan ketat, mengapa KKM masih membenarkan aktiviti lain yang juga membawa risiko kesihatan seperti arak dan perjudian.

“Jika benar kerajaan mahu melindungi rakyat, kenapa tidak ada larangan setara terhadap produk lain yang juga membawa kemudaratan kesihatan?

“Kerajaan sepatutnya fokus kepada isu yang lebih kritikal daripada membuat dasar yang membebankan rakyat dan peniaga kecil.

“Daripada mengenakan larangan baharu, mengapa tidak memperuntukkan sumber untuk infrastruktur penjagaan kesihatan yang lebih baik dan mengatasi kekurangan doktor dan kakitangan hospital?” soal beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!