Empat lelaki dicekup dalam kandang lembu, air ketum RM26,640 dirampas

KOTA BHARU - Polis menahan empat lelaki dan merampas 855 plastik dipercayai air ketum dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM26,640 dalam serbuan di Kampung Pangkal Mempelam, Kuala Krai pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, ketika serbuan kira-kira jam 6.30 pagi itu, semua mereka yang berusia antara 24 hingga 54 tahun itu berada dalam sebuah kandang lembu dalam keadaan mencurigakan.
Beliau memberitahu, pemeriksaan di sekitar lokasi itu menemukan air ketum 855 liter air ketum di dalam plastik dan sebahagiannya di simpan dalam tong dan peti sejuk.
"Semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau berkaitan air ketum manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod lampau membabitkan dadah dan air ketum serta seorang lagi tiada rekod lampau," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun jelas beliau ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.
Menurut Ahmad Shafiki, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama.
"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat," katanya.
Jelas beliau lagi, permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Majistret Machang pada Jumaat.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan ketum yang boleh membawa kemudaratan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
