Umno, Pas bersiap untuk PRU15

Tan Sri Annuar Musa. - Foto Saifuddin Abdul Karim
Tan Sri Annuar Musa. - Foto Saifuddin Abdul Karim
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO dan Pas mengerahkan jentera di seluruh negara untuk menggerakkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan langkah berkenaan selari pendirian Muafakat Nasional supaya mandat diberi kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

“Ibu pejabat parti sudah keluarkan arahan untuk jentera PRU di semua peringkat bersiap-siaga, selari keputusan kita memohon Parlimen dibubarkan.

“Walaupun tidak tahu apa keputusan Istana Negara, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) buat percaturan supaya semua bersiap sedia,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas membabitkan kepimpinan UMNO di seluruh negara di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini.

Menurutnya, jentera juga akan diberi garis panduan mekanisme kerjasama dalam Muafakat Nasional bagi berdepan PRU15.

Kelmarin, UMNO dan Pas dilaporkan mencapai kesepakatan supaya Parlimen dibubarkan, dengan syor berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Syor berkenaan disifatkan sebagai keadilan terbaik bagi sistem demokrasi sekali gus menyaksikan keperluan mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut politik melanda negara ketika ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO, Pas tarik balik sokong PM, syor bubar Parlimen

Sementara itu, Annuar berkata, sebarang keputusan kerajaan Johor menerusi institusi diraja berhubung pertukaran tampuk pemerintahan wajar dihormati.

“Tiada komen, kita mesti hormati,” katanya ringkas sebagai mengulas langkah gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas meraih majoriti 28 kerusi serta mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan gabungan baharu di Johor