Nelayan maut nahas dua Proton Wira

SETIU – Seorang nelayan maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer (KM) 48, Kampung Selamat, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, dekat sini, petang Khamis.
Nahas berlaku kira-kira jam 2.45 petang itu menyebabkan mangsa, Kamaruddin Jusoh, 53, yang memandu Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, sebuah lagi Proton Wira dipandu Muhammad Izzat Afzan Efendy, 20, hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan dipandu Kamaruddin.

"Akibat pertembungan itu, Kamaruddin disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Izzat yang bekerja sebagai pengawal keselamatan patah paha kanan dan cedera di dada.
"Seorang lagi mangsa, Zizah @ Rozita Jusoh, 48, yang merupakan penumpang hadapan kereta dipandu Kamaruddin, mengalami kecederaan di kepala dan dada," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.
"Dua mangsa yang turut cedera dalam kemalangan itu juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan," katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
