Nur Ufaira Afifa akhirnya 'pergi' ikut ibu, kakak

Gambar kenangan Tun Nur Ufaira Afifa (tengah) bersama arwah ibu (kiri) dan kakaknya (kanan).
Gambar kenangan Tun Nur Ufaira Afifa (tengah) bersama arwah ibu (kiri) dan kakaknya (kanan).
A
A
A

HULU TERENGGANU - Selepas kehilangan isteri tercinta dan anak sulung dalam kemalangan pada bulan lalu, seorang bapa sekali lagi berdepan ujian pada bulan Ramadan apabila anak bongsunya meninggal dunia pada hari ini di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Tun Mohd Khairul Tun Arifin, 39, berkata, Tun Nur Ufaira Afifa, 9, menghembuskan nafas terakhir di sisinya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira jam 10.24 pagi tadi selepas bertarung nyawa sejak 13 Februari akibat kemalangan itu.

"Hari ini genap sebulan kemalangan tersebut berlaku dan anak saya pergi (meninggal dunia) menyusul ibu dan kakaknya. Anak saya berada dalam keadaan koma sepanjang menerima rawatan di hospital.

"Namun ada satu kejadian dia pernah membuka mata dan dilihat mengalirkan air mata. Memang ketika itu saya berharap dan sentiasa berdoa supaya anak bongsu saya ini kembali sembuh tetapi ALLAH lebih menyayanginya dan akhirnya dia pergi pada bulan mulia ini.

"Sebagai seorang bapa, memang sangat sedih tetapi saya reda atas ujian yang berlaku. Saya sentiasa doakan kesejahteraan arwah isteri dan anak-anak di alam sana dan dikurniakan syurga tanpa hisab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Gambar kenangan Tun Mohd Khairul (dua dari kanan) bersama isteri dan anak-anaknya.
Gambar kenangan Tun Mohd Khairul (dua dari kanan) bersama isteri dan anak-anaknya.

Mengulas lanjut, Tun Mohd Khairul juga meluahkan rasa sedih kerana tidak sempat mendiami rumah baharu bersama isteri dan anak-anak sempena Aidilfitri tahun ini.

"Sedih sebab nak duduk di rumah baharu bersama isteri dan anak-anak tidak kesampaian. Kehilangan besar terutama semasa sambut perayaan Aidilfitri tanpa isteri dan anak-anak tercinta.

Artikel Berkaitan:

"Apa-apa pun sebagai manusia saya reda dan menerima ketentuan takdir ALLAH SWT. Saya sentiasa berdoa agar diri ini diberikan kekuatan untuk menempuhi ujian tersebut," katanya dengan nada sebak.

Dalam pada itu, Tun Mohd Khairul memaklumkan jenazah arwah anaknya, Tun Nur Ufaira Afifa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengkawang, di sini selepas solat Asar.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua beranak maut manakala seorang lagi parah apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah Perodua Axia dinaiki lima pelajar politeknik dalam kejadian di Kilometer (km) 13, Jalan Gaung – Kuala Ping – Teris di Kampung Kepah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, Nursaidatul Aishah bersama anak sulungnya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd Khairul, 12, maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Tun Nur Ufaira Afifa parah.

Menurut Sharudin, kejadian berlaku kira-kira jam 11.55 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari kedai di Kampung Kepah menghala ke Kampung Tengkawang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Produa Axia dinaiki lima pelajar lelaki itu telah hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!