'Nora tidak berlebih-lebih' - Rushdi Ramli akhirnya bersuara

SELEPAS berdiam diri susulan kontroversi rumah tangganya, suami Datuk Nora Ariffin iaitu Dr Rushdi Ramli akhirnya tampil menjelaskan fitnah dan dakwaan mengenai perkahwinannya dengan penyanyi itu.
Menurut Rushdi yang juga seorang pensyarah, perkahwinan yang dibina dengan Nora, 53, berlaku atas kehendaknya didorong oleh niat murni untuk menjaga, membimbing, mengajar ilmu dan menjaga anak-anak selepas kematian Johan Nawawi.
"Sesungguhnya tidak pernah terlintas langsung di dalam minda dan diri saya untuk mendekati Nora atas sebab kerjaya dan bidang yang jauh berbeza antara kami, saya di bidang agama.
“Didorong niat murni untuk menjaga, membimbing, mengajar ilmu dan menjaga anak-anak arwah yang masih pada awal usia, di sinilah timbulnya keinginan untuk meminang.
"Demi Tuhan, hanya ALLAH SWT yang tahu niat saya dan semuanya adalah dengan kehendak-Nya jua. Hakikatnya, hidup kita sentiasa di dalam lingkaran qada dan qadar ALLAH SWT. Siapalah yg mampu menafikannya hakikat yang teras ini," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Rushdi, beliau juga sedih apabila isterinya digelar dengan pelbagai gelaran negatif dan dilihat sebagai perosak rumah tangga kerana ia bukan perkara sebenar yang berlaku.
"Di dalam kehidupan poligami, gelaran seperti penyondol sering dikaitkan dengan isteri kedua, ketiga atau seterusnya dan amat menyedihkan, ini juga berlaku terhadap isteri saya, Nora yang turut menerima gelaran sedemikian.
"Jika ditanya dengan soalan mudah ini iaitu - siapa yang cari siapa? Adakah lelaki yang mencari wanita atau wanita yang tergila-gila mencari lelaki? Di sini tidak dapat dinafikan bahawa sayalah insan yang meminang Nora.
"Bagi saya, semuanya berlaku dengan kehendak ALLAH SWT..." katanya lagi.
Mengulas mengenai konflik rumah tangganya, Rushdi tidak menafikan ada campur tangan daripada insan-insan yang rapat dengannya.
Malah Rushdi juga melihat bahtera perkahwinan yang dibina selama beberapa tahun itu masih aman dan bahagia.
"Sejujurnya dalam asam garam kehidupan, pasti akan ada tergigit lidah, ada pasang surut. Perkara itu normal bagi semua pasangan, tetapi akhir-akhir ini kami diuji dengan isu panas yang kontroversi dan boleh memecahbelahkan rumah tangga kami.
"Lebih-lebih lagi bila adanya campur tangan daripada insan-insan yang rapat dengan saya. Inilah dugaan dan cabaran dalam berpoligami.
"Saya pernah menerima desakan dan asakan, satu ketika dahulu yang cukup mencabar kehidupan berpoligami saya namun dapat diatasi dengan izin ALLAH SWT," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji isteri keduanya yang disifatkan sentiasa menjaga diri dan bijak menangani emosi dalam keadaan tertekan.
"Nora sentiasa menerima nasihat dan pandangan daripada saya atau ustaz lain. Nora insan yang suka belajar dan mencari ilmu.
“Saya akui dari sudut perwatakan dan perangai, Nora tidak berlebih-lebih dalam segala hal terutamanya ketika di khalayak ramai.
“Alhamdulillah, Nora sentiasa menjaga tatasusila, sopan santun, sesuai dengan kedudukan dirinya sebagai isteri ustaz. Nora juga tidak sombong, mudah mesra, peramah dengan semua orang, lebih lagi, bila bersama dengan saya dalam pelbagai majlis.
"Sebagai insan yang telah 'ditakdirkan' berkahwin dengan Nora, tanpa ada niat untuk takabur atau riyak atau mengecilkan hati sesiapa, saya dapati beliau adalah isteri yang baik," tutur Rushdi.
Menerusi perkongsian sama, beliau berharap masyarakat dapat mendoakan baik-baik dan tidak lagi melemparkan kata-kata negatif terhadap mereka sekeluarga.
"Semoga melalui pencerahan ini, tiada lagi sebarang spekulasi, tohmahan, tuduhan tidak berasas dan tanggapan negatif terhadap diri saya dan keluarga.
“Saya memohon agar rumah tangga dibina ini yang berasaskan kerana ALLAH akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.
“Doakan juga agar Nora sentiasa menjadi seorang yang kuat, sabar, tabah dalam melayari kehidupan baharu ini.
“Semoga kehadiran saya yang serba kekurangan sedikit sebanyak dapat memberikan bantuan dan sokongan dalam apa juga bentuk terhadap keluarga Nora, khususnya untuk keluarga arwah sahabat saya dunia akhirat, Allahyarham Johan,” luahnya.
Nora atau Wan Norafizah Ariffin mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya pada Disember 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


