'Lawan rasuah perlu bermula dari rumah'

Ahmad Fuad
Ahmad Fuad
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah tidak boleh dihapuskan sepenuhnya jika masyarakat tidak dididik dari awal mengenai kesan keburukannya terhadap negara.

Ahli Jawatankuasa Rasuah Busters Kedah, Ahmad Fuad Ashari berkata, amalan rasuah bukan sesuatu yang boleh dihapuskan dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan usaha berterusan dan didikan sejak kecil.

Beliau menegaskan, inisiatif membanteras rasuah bukan hanya terletak di bahu kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga merupakan tanggungjawab setiap individu dalam masyarakat.

"Perkara itu bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau NGO, tetapi juga tanggungjawab setiap individu dan ia haruslah bermula dari rumah.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk menolak rasuah sejak kecil," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berpandangan, tanpa didikan awal dari rumah, usaha membanteras rasuah akan menjadi lebih sukar kerana individu yang terdedah kepada perbuatan tersebut mungkin tidak mempunyai kesedaran kukuh untuk menolaknya.

"Sebagaimana ibu bapa ajar anak tentang agama di rumah, maka amalan menolak rasuah juga perlu bermula dari rumah.

"Didikan rasuah tidak boleh bermula dari masjid, tidak boleh mula dari pejabat, sebaliknya perlu bermula sejak kecil dengan ibu bapa memainkan peranan mendedahkan anak tentang perkara ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!