LZS sasar kutipan zakat Ramadan RM208 juta

Muhd Fikri (tengah) bergambar bersama penerima bantuan zakat pada Majlis Iftar Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) di Wisma PKPS pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Muhd Fikri (tengah) bergambar bersama penerima bantuan zakat pada Majlis Iftar Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) di Wisma PKPS pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menetapkan sasaran kutipan zakat sebanyak RM208 juta sepanjang Ramadan tahun ini bagi memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela.

Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun, berkata daripada jumlah tersebut, RM163 juta dijangka diperoleh menerusi zakat harta, manakala RM45 juta menerusi zakat fitrah.

"Sasaran ini sejajar dengan usaha LZS dalam memperluaskan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Kami berharap lebih ramai masyarakat dan syarikat korporat tampil menunaikan kewajipan zakat bagi membantu golongan asnaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan (IMTIYAZ) 2025 yang menyaksikan 40 syarikat serta dua individu menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM7,994,275.80 di sini.

Ambrin Buang (tengah ) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Iftar Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) di Wisma PKPS pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ambrin Buang (tengah ) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Iftar Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) di Wisma PKPS pada Rabu. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

PHB Asset Management Berhad mencatat jumlah bayaran zakat tertinggi sebanyak RM1,861,000, diikuti KPJ Healthcare Berhad (Wilayah Selangor) sebanyak RM1,848,000, Alliance Islamic Bank Berhad sebanyak RM600,000, dan Solar Gas Sdn Bhd sebanyak RM483,000.

Beberapa syarikat lain turut menyerahkan zakat perniagaan, antaranya Aura One Resources (M) Sdn Bhd sebanyak RM311,328.65, Skyhill Clinic Sdn Bhd sebanyak RM200,000, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd sebanyak RM150,000, ZAR Lynx Sdn Bhd sebanyak RM120,000 dan Aerosynergy Solutions Sdn Bhd sebanyak RM100,000.

Selain itu, LZS turut menyerahkan bantuan zakat berjumlah RM258,330 kepada penerima yang layak, termasuk Syahrul Nizam Abu Nasir menerima bantuan perubatan sebanyak RM12,330, Nor Eshah Basri dan Zunirah Abas masing-masing menerima bantuan baik pulih rumah sebanyak RM43,000, Surau Darul Ehsan menerima sumbangan baik pulih institusi agama sebanyak RM80,000 dan Surau Al Insyirah turut menerima jumlah sama.

Artikel Berkaitan:

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyantuni golongan memerlukan, LZS dengan kerjasama GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant) memperkenalkan inisiatif "Indahnya Berkongsi Giant dan LZS".

Menurut Muhd Fikri, melalui program ini, orang ramai boleh membeli pakej bakul makanan serendah RM30 di semua cawangan pasar raya Giant di Selangor.

"Setiap pembelian bukan sahaja menjadi sumbangan kepada asnaf, malah melambangkan kasih sayang dan keprihatinan terhadap mereka yang kurang berkemampuan," ujarnya.

Bakul makanan yang dikumpulkan akan disalurkan kepada golongan asnaf fakir, miskin, dan mualaf di seluruh negeri bagi memastikan mereka dapat menyambut Ramadan dan Syawal dengan lebih selesa.

Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat, tetapi juga mencerminkan komitmen LZS dan Giant dalam membantu mereka yang memerlukan.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin, dan Ketua Pegawai Kewangan dan Teknologi Maklumat, Rapizah Muhammad Sharif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!