Polis Indonesia giat banteras ‘perang sarung’

Sekumpulan remaja ditahan berhubung insiden berkenaan. Foto Agensi
Sekumpulan remaja ditahan berhubung insiden berkenaan. Foto Agensi
A
A
A

BOYOLALI – Polis di beberapa wilayah di Indonesia telah meningkatkan operasi dan rondaan malam sepanjang Ramadan bagi mengekang kegiatan ‘perang sarung’ daripada terus merebak.

Menurut laporan Kompas.com, permainan tradisional yang dahulunya dianggap sebagai hiburan ketika bulan puasa kini semakin membimbangkan apabila ia berubah menjadi insiden pergaduhan ganas sehingga meragut nyawa.

Ketua Polis Boyolali, Superintenden Rosyid Hartanto berkata, pihaknya baru-baru ini telah menahan sekumpulan remaja yang didapati membawa sarung yang telah diubah suai menjadi senjata berbahaya.

“Mereka mengikat hujung sarung dan mengisinya dengan batu, menjadikannya seperti cemeti. Ada juga yang membawa dua botol arak,” katanya dalam satu sidang media di Boyolali baru-baru ini.

Sementara itu, polis di Mataram, Nusa Tenggara Barat, turut menahan 22 remaja, kebanyakannya pelajar sekolah menengah, yang dipercayai terlibat dalam perancangan pergaduhan sarung di daerah Selaparang.

Kegiatan ‘perang sarung’ dipercayai bermula sebagai satu gurauan dalam kalangan pelajar pondok, dengan mereka menyebat rakan menggunakan sarung yang digulung.

Tradisi ini semakin popular setiap kali Ramadan, memandangkan kebanyakan remaja lelaki memakai sarung ketika ke masjid.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permainan tersebut bertukar ganas apabila sarung diubah menjadi senjata yang boleh mendatangkan kecederaan serius dan mengancam nyawa.

Pada Khamis lalu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dari Kuningan, Jawa Barat, ditemui mati di kawasan perkuburan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan ‘perang sarung’. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!