Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 bawa nilai kekeluargaan rakyat Malaysia

PROGRAM Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 yang diadakan pada Isnin di lokasi keempat, iaitu Mydin Seremban 2 terus mendapat sambutan menggalakkan.
Lebih 800 pengunjung hadir dan menariknya, ia turut disertai oleh kaum-kaum lain sekali gus membawa nilai kekeluargaan rakyat Malaysia.
Pendakwah, Mohamad Zarifi Mohamad Daud yang baru tahun pertama menyertai program itu, memuji usaha dilakukan oleh Mydin, yang merupakan salah satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada bulan Ramadan.
“Saya lihat ia suatu program yang sangat baik dan tepat waktunya sempena Ramadan.

“Pendekatan Mydin menganjurkan berbuka puasa sebegini dengan cara duduk bersila sangat bersifat kekeluargaan. Saya berharap ia dapat diadakan secara berterusan kerana dapat membentuk ukhuwah dalam masyarakat,” katanya.
Seorang pengunjung, Musmazawaty Mustafar, 43, berkata, dia menyertai program tersebut kerana tertarik dengan konsepnya.
Oleh sebab itu, dia dan keluarganya sanggup datang dari Kuala Pilah bagi merasai suasana berbuka puasa secara beramai-ramai.
“Saya dapat tahu pun melalui Facebook Mydin. Bagi saya, ia sangat menarik dan perlu diteruskan kerana dapat merapatkan ukhuwah antara satu sama lain,” katanya.
Bagi Ching Weng Kok, 67, dia menyertai program tersebut kerana mahu merasai suasana berbuka puasa bersama-sama masyarakat Islam.
“Saya biasa sertai program iftar yang diadakan di hotel, tetapi konsep duduk bersila adalah pengalaman pertama saya.
“Saya bangga dapat menyertai program ini dan melihat semangat kesatuan dalam masyarakat kita,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Mydin Mohamed Holdings Berhad, S Vishnu Varthana berkata, penganjuran program tersebut secara berterusan merupakan tanda penghargaan Mydin kepada masyarakat.
“Salah satu faktor kami meneruskan program ini adalah kerana ia bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat, tetapi juga daripada rakan-rakan niaga kami.

“Disebabkan itu, ia mendorong kami untuk menganjurkan program ini secara lebih besar, dan buat kali pertamanya tahun ini, kami akan mengadakannya di Sarawak,” katanya.
Pengurus Kanan Pemasaran Yeo’s Malaysia, Yvonne Lam pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Mydin buat kali kedua bagi menganjurkan jelajah tersebut dalam usaha mengeratkan silaturahim bersama masyarakat.
“Yeo’s merupakan jenama yang dekat dengan rakyat Malaysia dan menjadi pilihan seisi keluarga setiap hari, termasuk pada bulan Ramadan.
“Untuk tahun ini, kami berkongsi tiga jenis minuman Yeo’s dengan masyarakat untuk berbuka puasa, dan kami berharap ia dapat menyegarkan para pengunjung,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

