26 rakyat Malaysia mangsa sindiket tipu tawar kerja di Myanmar tiba esok - PDRM

Razarudin
Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 26 rakyat Malaysia disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang selepas terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar dijangka tiba di negara ini pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua individu termasuk dua wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun itu akan tiba kira-kira jam 2.30 petang melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Katanya, ia hasil kerjasama Kedutaan Malaysia di Bangkok dengan Kerajaan Thailand untuk menjalankan proses repatriasi terhadap semua individu terlibat.

“Kesemua mangsa membabitkan 11 orang dari Johor, Selangor (6), Perak (2), Kedah (2), Kuala Lumpur (2) dan Melaka, Sarawak serta Negeri Sembilan masing-masing seorang.

“Selepas tiba di negara ini, mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum rakaman percakapan mangsa diambil oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, proses rakaman percakapan akan dilakukan di Bukit Kayu Hitam sebelum kesemua mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap 15 mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar, yang berjaya dibawa pulang ke tanah air pada 24 Februari.

Kesemua rakyat Malaysia terbabit juga akan menjalani proses pengenalpastian mangsa mengikut National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).

Difahamkan, rakyat Malaysia terbabit menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Myanmar dengan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ bagi pelaburan kripto, bitcoin dan ‘love scam’.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan memaklumkan kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand telah memudah cara penghantaran pulang kesemua mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!