Pemandu lori beraya dalam penjara selepas pukul anak, isteri

Muhammad Devan dikenakan hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan mencederakan isteri dan anak perempuannya, Sabtu lalu.
Muhammad Devan dikenakan hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan mencederakan isteri dan anak perempuannya, Sabtu lalu.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang pemandu lori terpaksa menyambut Aidilfitri di penjara selepas Mahkamah Majistret Parit Buntar pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan mencederakan isteri dan anak perempuannya minggu lalu.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Devan Abdullah, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lapan anak itu didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya yang berusia 41 tahun hingga menyebabkan lebam di pipi kiri serta kesakitan di leher dan dada.

Tertuduh turut didakwa mencederakan anak perempuannya yang berusia 10 tahun, sehingga mengalami lebam di pipi kiri dan kepala.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Jalan Abdul Raof di sini, sekitar jam 2.30 petang pada 8 Mac lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Ruhan 'Imran Abdul Halim yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum bermula dari tarikh tangkapan kerana tertuduh menanggung lapan anak serta ibu bapa mentuanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran, dengan mengambil kira kepentingan awam terhadap isu keganasan rumah tangga selain rekod kesalahan sama yang dilakukan tertuduh pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku akibat pertengkaran mulut apabila tertuduh marah terhadap isterinya yang ingin berbuka puasa di rumah ibunya di Bagan Serai.

Dalam kejadian itu, tertuduh bertindak menendang dada mangsa serta memukulnya menggunakan penyodok sampah, manakala kepala anak perempuannya dipukul beberapa kali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!