Penjawat awam Pahang dapat 'duit raya' RM1,000

Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini. Foto kecil: Wan Rosdy
Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini. Foto kecil: Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan khas itu akan mula dibayar seminggu sebelum Aidilfitri.

Menurutnya, pemberian yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM8 juta itu bertujuan meringankan beban penjawat awam dalam menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.

"Diharapkan bantuan ini dapat meningkatkan semangat penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga akan mengadakan Program Jualan Makmur Kluster Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025.

Menurutnya, program jualan barangan keperluan Aidilfitri itu akan bermula dari 22 hingga 27 Mac ini, melibatkan 26 lokasi jualan di seluruh Pahang.

"Program ini dijalankan dengan kerjasama pasar raya dan pembekal terpilih, menawarkan pengurangan harga antara 15 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.

"Subsidi yang disediakan oleh kerajaan negeri melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.1 juta bagi mengurangkan beban rakyat yang akan menyambut perayaan Aidilfitri," katanya.

Wan Rosdy berharap masyarakat di negeri ini dapat mengambil peluang sepanjang enam hari penganjuran program tersebut untuk menikmati pengurangan harga yang menarik bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!