Tuntut Wang Tak Dituntut, boleh buat duit raya

MERAK Jalanan baru-baru ini terbaca mengenai Wang Tak Dituntut (WTD) sebanyak RM12.7 bilion.
Jumlah ini sangat besar. Masalahnya, duit ini kalau tidak dituntut dalam tempoh 10 tahun, ia akan jadi milik kerajaan.
Ramai orang tak tahu mereka ada wang ini. Pernah dua tahun dulu bila Jabatan Akauntan Negara buka kaunter dalam satu program jelajah di Kota Bharu, ada pengunjung terkejut besar selepas dapat tahu dia memiliki RM12,000 WTD.
Seorang pengguna Facebook dengan nama Hector John juga teruja baru-baru ini kerana rupanya dia ada RM996 duit tak dituntut manakala seorang lagi pengguna RM885. Cara untuk semak WTD ini mudah saja iaitu menerusi portal eGumis.
Selepas daftar baru boleh semak ada atau tidak wang kita yang tidak dituntut.
Boleh juga semak untuk orang lain. Tapi dihadkan dua kad pengenalan saja boleh semak setiap hari.
Anak juga boleh semak untuk ibu dan ayah, sama ada mereka masih hidup atau telah tiada.
Jika mereka pernah beli saham, mungkin ada dividen yang dulu dalam bentuk cek tak dituntut atau tak masuk dalam akaun.
Ada banyak jenis sumber wang ini. Ini termasuk gaji, bonus atau komisen yang tidak dapat dibayar kepada kakitangan atas sebab tertentu.
Begitu juga dividen saham, tuntutan insurans dan akaun simpanan yang ditutup bank kerana tidak lagi aktif.
Wang ini boleh dituntut di mana-mana pejabat Jabatan Akauntan Negara atau mohon secara online.
Kalau rasa jumlahnya tak berbaloi, anggaplah sedekah. Lagipun kerajaan guna duit itu untuk urus dan bangunkan negara.
Merak Jalanan juga baru buat semakan.
Betul, ada RM53. Merak Jalanan cadang nak buat tuntutan. Lepas jugalah beli sekilo dua daging atau buat duit raya untuk anak buah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
