'Moreh Selepek Sahur' tonjol warisan Melayu Terengganu

KUALA TERENGGANU – Program 'Moreh Selepek Sahur' di Payang Walk di sini bukan sekadar menyajikan juadah berbuka, malah turut membawa pengunjung mengenali aneka juadah tradisional serta warisan kesenian dan budaya Terengganu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi memperkasakan pelancongan berasaskan warisan tempatan.
"Moreh Selepek Sahur bukan sekadar tempat yang menyediakan aneka makanan, namun turut memberikan pengalaman berharga buat pengunjung.
"Selain menikmati kuih tradisional seperti akok, sagupal, puding raja dan loklik, mereka juga boleh melihat sendiri demonstrasi seni kraf seperti batik, kaligrafi dan pemakaian tanjak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Voluntourism & Volunsharing di Payang Walk, Taman Shah Bandar di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Terengganu, Mazshidal Roslal; Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ridzwan Abdul Rahman; dan Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Program anjuran MOTAC dengan kerjasama Payang Walk itu turut disertai oleh pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mengagihkan juadah berbuka kepada orang ramai di sekitar Pesisir Payang.

Sementara itu, Razali menyatakan harapan beliau agar lebih ramai anak muda mengenali dan menghargai budaya serta makanan tradisional Terengganu.
Katanya, golongan sukarelawan yang terlibat dalam program ini diberi peluang mencuba sendiri pembuatan kuih tradisional sebelum dihidangkan kepada pengunjung.
"Program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung.
"Kita juga akan menyokong program ini untuk dijadikan sebagai acara tahunan dalam usaha memperkasakan pelancongan budaya negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
