400 anak yatim, asnaf dan ahli jawatankuasa masjid diraikan dalam Nur Kasih Ramadan

SERAMAI 400 orang termasuk anak-anak yatim, keluarga asnaf dan ahli jawatankuasa masjid diraikan sempena majlis berbuka puasa amal, Nur Kasih Ramadan anjuran Mardhiyyah Hotel & Suites dengan kerjasama Yayasan Abadi pada Sabtu.
Pengarah Urusan Mardhiyyah Hotel & Suites, Datuk Seri Mohamed Rafik Mohd Idris berkata, pihaknya melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seumpana ini setiap tahun bagi meraikan golongan yang memerlukan.

“Anak-anak yatim, keluarga asnaf dan individu yang kurang bernasib baik ini telah dikenal pasti melalui usaha gigih wakil-wakil masjid dan surau di Shah Alam, Klang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya.
“Majlis ini membolehkan kami menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menganjurkan, meraikan dan mengagihkan sedikit sumbangan kepada kumpulan sasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Tambah Mohamed Rafik yang juga Pengerusi Yayasan Abadi, pihaknya turut menghargai peranan yang dimainkan pihak masjid dalam memimpin dan menyatukan komuniti setempat.

“Peranan pihak masjid dalam menyebarkan ilmu agama, membantu golongan yang kurang bernasib baik serta memperkukuhkan ukhuwah sesama kita amatlah besar,” ujarnya.
Majlis turut dimeriahkan dengan pengagihan duit raya kepada kumpulan yang diraikan.
Sebelum berbuka, penyampaian tazkirah Ramadan oleh pendakwah, Ustaz Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali dengan PU Rahmat bersama selebriti Zul Handy Black menyentuh hati hadirin.

Dalam majlis sama, sebilangan kakitangan hotel yang berdepan dengan ujian hidup termasuk masalah kesihatan berpanjangan turut diraikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

