'Berbuka di Karangkraf meriah, ramai orang'

Napisah (kiri) dan Mat Hussain (dua dari kiri) bersama keluarga mereka.
Napisah (kiri) dan Mat Hussain (dua dari kiri) bersama keluarga mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf bukan sekadar tempat keluarga berkumpul, tetapi menjadi penawar kesunyian bagi warga emas yang ingin merasai kemeriahan berbuka puasa bersama orang ramai.

Warga emas, Fauziah Mohamad, 78, berkata, pengalaman berbuka puasa di Karangkraf mengubat kesunyian yang sering dirasai apatah lagi dia hanya tinggal bertiga bersama anak perempuan dan cucunya sahaja.

Fauziah (kanan) dan anak perempuannya.
Fauziah (kanan) dan anak perempuannya.

“Kalau di rumah, saya hanya berbuka dengan anak dan cucu. Saya ada anak lelaki lagi seorang, dia berbuka di rumahnya.

“Di sini lain, suasana meriah, ramai orang, rasa seronok dapat berkumpul dan bergaul dengan mereka,” katanya ketika ditemui di Dataran Karangkraf di sini.

Iftar Ala Madinah @Karangkraf berlangsung sehingga 27 Mac ini dan terbuka kepada 1,500 tetamu untuk berbuka puasa secara percuma setiap hari kecuali Sabtu, Ahad serta cuti umum.

Berdasarkan sambutan menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya, program itu sekali lagi memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman seperti berbuka puasa di Masjid Nabawi, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam dan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Fauziah yang ditemani anak dan cucunya berkata, dia memilih memeriahkan iftar di Karangkraf kerana suasana selesa serta mendapat layanan baik daripada petugas.

Artikel Berkaitan:

“Makanan pun dihidangkan terus ke meja, nak daftar pun tak perlu beratur lama. Staf pun mesra dan peramah.

“Sebenarnya saya selalu tanya anak mengenai program ini, tahun lepas saya dah datang dan suka sangat nak datang lagi tahun ini,” ujarnya.

Seorang lagi warga emas, Napisah Ahmad, 85, berkata, pengalaman berbuka puasa di Karangkraf membawa nostalgia ketika menyambut Ramadan bersama keluarga besar.

Berasal dari Kelantan, dia mengakui suasana dirasai mengingatkannya kepada kenangan berbuka puasa di Madinah beberapa tahun lalu.

“Suasananya sangat meriah, terasa seperti di Madinah. Saya pernah sekali berada di sana pada bulan Ramadan dan program ini memberikan pengalaman yang hampir serupa.

“Kemudahan yang disediakan termasuk untuk golongan orang kurang upaya, warga emas dan orang sakit, memudahkan untuk menikmati juadah dengan selesa.

Sebahagian pengunjung yang membawa ahli keluarga untuk menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
Sebahagian pengunjung yang membawa ahli keluarga untuk menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.

“Saya sendiri menggunakan kerusi roda, jadi bila ada kemudahan untuk warga emas seperti saya, rasa lebih dihargai,” ujarnya.

Sementara itu, anaknya yang juga merupakan seorang pengunjung warga emas, Mat Hussain Saari, 65, meluahkan rasa gembira kerana dapat hadir bersama ibunya dan seorang lagi adik lelakinya, berbuka puasa dalam suasana yang mesra.

“Layanan di sini sangat baik, mesra dan penuh hormat. Walaupun saya berkerusi roda, saya dan mak saya tetap rasa selesa.

“Kalau setiap tahun ada program macam ini, memang saya nak datang lagi. Rasa seronok dapat berbuka beramai-ramai,” tambahnya.

Jelasnya, dia berharap program seperti itu dapat diteruskan lagi kerana memberi peluang kepada lebih ramai warga emas untuk merasai kemeriahan Ramadan bersama komuniti.

Menurutnya, program seperti ini amat bermakna terutama bagi golongan warga emas yang mungkin tidak berpeluang berbuka dalam suasana meriah.

Sidik (kiri) bersama keluarganya pertama kali menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
Sidik (kiri) bersama keluarganya pertama kali menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf.

Untuk turut serta, orang ramai perlu mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari dengan mengimbas kod QR di laman web Iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.

Mereka yang ingin menyumbang untuk menambah baik kemudahan, membeli kelengkapan berbuka atau menginfakkan makanan boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Infaq Iftar menerusi akaun Maybank 564276529068 (Maybank-Sinar Karangkraf Sdn Bhd).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!