Kastam rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM200,000 di Pulau Pinang

Rohaizad (empat, kanan), menunjukkan pelbagai jenis mercun yang dirampas dalam satu sidang akhbar mengenai rampasan minuman keras, rokok pelbagai jenama, serta mercun dan bunga api di Stor Penguatkuasaan Jabatan Kastam Pulau Pinang pada Rabu. Foto Bernama
Rohaizad (empat, kanan), menunjukkan pelbagai jenis mercun yang dirampas dalam satu sidang akhbar mengenai rampasan minuman keras, rokok pelbagai jenama, serta mercun dan bunga api di Stor Penguatkuasaan Jabatan Kastam Pulau Pinang pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 1,186 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama bernilai lebih RM200,000, dalam dua serbuan di Seberang Jaya dan Simpang Ampat di sini, pada Januari.

Pengarah JKDM negeri, Rohaizad Ali berkata, serbuan serentak pada 10.40 pagi 24 Januari, oleh pasukan Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang itu, melibatkan sebuah premis di kawasan kilang berdekatan Permatang Pauh, Seberang Jaya dan stor di Simpang Ampat.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis berhampiran kilang menemukan 718 karton mercun dan bunga api bernilai RM127,397.26, dengan nilai cukai kastam berjumlah RM197,465.77.

"Serbuan terhadap stor di Simpang Ampat pula merampas 468 karton mercun dan bunga api bernilai RM97,946.00 dengan nilai cukai RM151,816.30.

"Rampasan dibuat selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan dalam permit import dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, pada Rabu.

Mercun dan bunga api itu dipercayai stok jualan pada musim perayaan dengan nilai rampasan bagi dua kes terlibat berjumlah RM225,343.26 dan melibatkan cukai RM349,283.07.

Rohaizad berkata, pada serbuan itu, pihaknya menahan dua individu masing-masing seorang wanita dan lelaki berusia 50-an, dipercayai pemilik premis terlibat bagi membantu siasatan.

Siasatan lanjut dua kes itu dijalankan mengikut Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!