Perkara asas dalam agama tidak boleh diperdebatkan - Mufti

Laporan Sinar Harian berkaitan Saravanan putuskan tidak teruskan debat dengan Zamri. (Gambar kecil: Mohamad Sabri)
Laporan Sinar Harian berkaitan Saravanan putuskan tidak teruskan debat dengan Zamri. (Gambar kecil: Mohamad Sabri)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang perkara asas melibatkan kepercayaan dan hukum tetap dalam mana-mana agama tidak boleh dipertikai atau diperdebatkan bagi mengelakkan ketegangan serta polemik yang tidak bermanfaat.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, perkara tidak boleh dibuktikan secara saintifik dan menjadi satu kepercayaan sakral dalam masyarakat perlu dihormati kerana ia merupakan asas kepada kepercayaan penganutnya.

“Tsawabit atau perkara-perkara asas dalam Islam tidak boleh dipertikai atau diperdebat walaupun zaman beralih kerana ia merupakan ketetapan yang jelas dalam syariat. Ia termasuk Rukun Islam dan Rukun Iman serta kepercayaan tidak boleh diubah seperti sifat-sifat ALLAH.

“Agama lain juga ada kepercayaan kekal dan tidak boleh dipersoalkan kerana ia tidak dapat dijelaskan secara logik tetapi sudah menjadi ketetapan dalam ajaran tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan debat atau perbincangan yang melibatkan agama tidak seharusnya diteruskan.

Menurutnya, perbincangan yang terlalu memfokuskan kepada perbezaan agama berpotensi untuk mencetuskan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara masyarakat berbilang agama di negara ini.

Mohamad Sabri bagaimanapun berkata, perbincangan secara ilmiah dalam suasana harmoni dibolehkan bagi memahami dalil serta hujah di sebalik sesuatu ajaran.

“Banyak elemen dalam agama yang bersifat fleksibel atau Murunah. Perkara ini boleh dibincangkan dan berubah mengikut keadaan, tempat serta zaman seperti aspek pakaian dalam Islam yang boleh mengikut budaya tetapi tetap mengekalkan syariat agama,” jelas beliau.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, Islam membenarkan dialog dan perbincangan antara agama tetapi ia harus dilakukan dengan adab dan tujuan yang betul.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sukki
Mohd Sukki

“Tujuan utama adalah menyampaikan kebenaran dan bukan untuk menghina atau merendahkan agama lain. Gunakan bahasa yang baik, berhujah dengan ilmu dan tidak menyebabkan sebarang provokasi.

“Jika perdebatan itu menyebabkan kebencian atau memecah-belahkan masyarakat, maka ia haram kerana boleh membawa mudarat lebih besar. Islam menekankan konsep Tasamuh (toleransi) dalam hubungan antara agama, jadi perbincangan yang mencetuskan permusuhan hendaklah dielakkan,” jelas beliau.

Tambah beliau, dialog atau perdebatan tentang agama hanya boleh dilakukan oleh individu yang mempunyai ilmu mendalam tentang Islam dan agama lain.

“Perdebatan tanpa ilmu boleh menyebabkan salah faham dan melemahkan kedudukan Islam. Sekiranya perdebatan itu bertujuan untuk mencari kesalahan, menjatuhkan maruah pihak lain atau menimbulkan permusuhan, maka ia dilarang.

“Sebaliknya, dialog ilmiah yang berasaskan ilmu dan keikhlasan adalah digalakkan. Dialog dan perdebatan antara agama boleh dilakukan jika dibimbing oleh ilmu dan bertujuan menjelaskan kebenaran, bukan untuk menghina,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!