Perak kenal pasti 11 lokasi lubang benam

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri Besar Perak dan Timbalan Menteri Dalam Negeri di Perkarangan Dewan Datuk Yasin, Penjara Tapah pada Selasa. Foto Bernama
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri Besar Perak dan Timbalan Menteri Dalam Negeri di Perkarangan Dewan Datuk Yasin, Penjara Tapah pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Kerajaan Perak akan mengambil maklum mengenai kejadian lubang benam direkodkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi tempoh 2019 hingga 2024 yang berlaku di 11 kawasan di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, susulan itu pihaknya akan mengenal pasti lokasi-lokasi yang berisiko tinggi terjadi lubang benam tersebut.

Menurutnya, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh semua pihak memandangkan cuaca ketika ini tidak menentu.

"Saya belum mendapat maklumat rasmi tentang bilangan dan juga lokasi (lubang benam). Tapi dengan suasana dan musim (hujan tidak menentu) seperti ini, kita jangka mungkin bukan (11 lokasi) itu sahaja.

"Orang ramai kena berhati-hati dan kena ambil tahu jika ada kejadian lubang benam atau tanah runtuh berlaku di mana-mana dan segera laporkan kepada pihak berwajib," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Besar Perak dan Menteri Dalam Negeri di Penjara Tapah di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Komisioner Jeneral Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Pada 6 Mac media melaporkan JMG merekodkan 24 kejadian lubang benam dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024, dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 11 kes.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan tiga kejadian direkodkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Melaka dan Perlis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!