Tiga lelaki ditahan ketika cuba larikan kabel TM

BESUT - Tindakan tiga lelaki cuba melarikan diri selepas dikesan terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) tidak kesampaian apabila berjaya ditahan polis dalam operasi di Kampung Gerai, Jertih di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Jertih menjalankan rondaan jam 12.20 tengah malam hasil maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan di kawasan berkenaan.
"Sewaktu rondaan, polis terserempak dengan tiga kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan. Menyedari kehadiran polis, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke arah Pekan Jertih sebelum berlaku aksi mengejar sejauh kira-kira satu kilometer (km).
"Polis akhirnya berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa kabel TM serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti mencuri kabel,” katanya di sini pada Selasa.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah kekerasan, namun ujian saringan air kencing suspek negatif dadah.
Jelas beliau, ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Besut untuk permohonan reman dan dibenarkan direman selama empat hari sehingga 14 Mac depan bagi membantu siasatan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara serta wajib dikenakan denda atau sebatan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di talian 09-6956222.
"Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar berhubung kes ini yang boleh mengganggu siasatan," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
