Lelaki ditahan, seludup RXZ guna MPV

RANTAU PANJANG - Tindakan seorang lelaki cuba menyeludup masuk motosikal Yamaha RXZ menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Thailand ke negara ini berjaya dikesan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di Kampung Banggol Kulim di sini, pada Rabu.
Pemandu berusia 31 tahun itu dicekup pada jam 1 tengah hari ketika dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan semasa Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit telah menemukan sebuah motosikal Yamaha RXZ dianggarkan bernilai hampir RM10,000 yang diletakkan di bahagian but kereta.
"Semasa ditahan pemandu terbabit tidak dapat menunjukkan sebarang dokumen pemilikan yang sah dan tidak melalui JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia).

"Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan kesemua barangan rampasan serta suspek dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!