Pernah digelar gila, Dak Nor bangkit terima Anugerah Kasih Wanita Cekal

MELAKA - Dia pernah digelar orang gila, malah beberapa kali 'ditangkap' polis selepas ada yang kurang senang dengan kehadirannya yang dianggap kurang siuman.
Meskipun tidak pernah mengganggu sesiapa, wanita ini tetap melalui kisah duka yang masih terpahat dalam ingatannya.
Namun, segala keperitan itu akhirnya terubat apabila beliau menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal 2025 baru-baru ini.
Penerima anugerah tersebut, Nor Kamariah Mohd Khalid Kourdes Lio, 41, atau lebih dikenali sebagai Dak Nor berkata, dirinya kini jauh berubah berbanding dahulu, hasil sokongan dan dorongan masyarakat khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Menurutnya, sejahat atau segila mana pun seseorang, jika diberikan galakan dan sokongan untuk berubah, tidak mustahil mereka mampu bangkit semula.
“Saya dilahirkan dalam keluarga miskin dan pernah diuji dengan kegagalan dalam percintaan sehingga disahkan sebagai pesakit mental. Namun, berkat doa orang ramai, saya kini mampu berdikari serta menjana pendapatan sendiri.
“Saya masih ingat kata-kata orang, ‘Ah, budak gila ni, jangan dilayan! Hantar saja ke hospital gila, menyusahkan orang.’
“Ketika itu, tiada siapa yang pedulikan saya sehinggalah hadirnya YB Helmy yang membantu serta memberi semangat untuk saya kembali menjadi wanita normal,” katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Dak Nor yang masih mendapatkan rawatan berkala di Hospital Melaka berkata, anugerah yang diterimanya itu bukanlah sesuatu untuk dimegahkan, tetapi membuktikan bahawa sokongan masyarakat amat penting dalam membantu pesakit mental menjadi lebih positif.
“Tidak kira apa pun penyakit yang dihidapi, apabila mendapat sokongan, kita boleh berubah sedikit demi sedikit dan belajar reda menerima ujian ALLAH SWT.
“Saya berharap pesakit mental yang lain terus diberikan semangat. Jangan lemparkan kata-kata negatif kepada mereka, sebaliknya doakan yang baik-baik,” katanya lagi.
Tambah bekas asnaf itu, beliau juga ingin membantu golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.
Menurutnya, beliau kini menjalankan perniagaan dengan menjual pelbagai jenis makanan termasuk biskut raya di Bazar Aidilfitri dan turut menggunakan platform TikTok untuk melariskan jualan.
Terdahulu, anugerah tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

