X

Kindly register in order to view this article
!

Agong boleh bubar Parlimen tanpa nasihat PM: Peguam

Zainul Rijal
A
A

SHAH ALAM - Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pemerintahan atau eksekutif sebenar bagi Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong dan ia dinyatakan secara jelas di dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, bagaimanapun menurut Perkara 40 mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas dan fungsi Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Beliau berkata, menurut Perkara 55 pula dijelaskan tentang tiga kuasa utama dimiliki Yang di-Pertuan Agong iaitu memanggil sidang Parlimen, memprorog Parlimen dan membubarkan Parlimen.

Namun katanya, Perkara 55(2) di atas secara spesifik tidak menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan hal ini juga hanya terhad kepada memprorog dan membubar Parlimen.

"Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Parlimen untuk bersidang serta mempunyai kuasa mutlak untuk menghentikan atau pun membubarkan Parlimen.

"Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang," katanya dalam satu perkongsian rencana yang ditulis hari ini.

Zainul Rijal berkata, begitu juga dalam soal membubarkan Parlimen, ia mesti diikuti dalam tempoh 60 hari suatu pilihan raya umum (PRU) diadakan, walaupun rakyat sering dilihat tidak sabar menunggu ia dilaksanakan.

Katanya, bagaimanapun memprorog Parlimen masih belum lazim dicatatkan dalam sejarah perundangan negeri sepertimana tindakan yang diambil Perdana Menteri Britain dan juga Raja James tersebut selain pada tahun 1969.

Menurutnya, peruntukan mengenai memprorog Parlimen ini masih belum diuji di mahkamah Malaysia dan tiada penghakiman dibuat mengenainya sebelum ini.

"Namun kuasa tersebut ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 55. Cuma bagaimana cara ia dilakukan masih belum ada duluan yang menjadi panduan di Malaysia.

"Jika Parlimen diprorog, PRU tidak perlu diadakan kerana Parlimen masih lagi ada tetapi digantung sahaja," katanya.

Sementara itu, berbalik kepada isu keperluan nasihat Perdana Menteri sebelum membubarkan Parlimen, persoalan timbul adakah Perkara 40 dan Perkara 55 perlu dibaca bersama yang menjadikan satu keperluan untuk nasihat Perdana Menteri tersebut.

Beliau berkata, Perkara 40 menyentuh isu tanggungjawab berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong, manakala Perkara 55 berkaitan kuasa Seri Paduka.

Menurutnya, ia dua perkara berbeza dan tidak boleh dibaca bersama, malah berdasarkan prinsip undang-undang yang menyatakan perkara spesifik mengatasi perkara umum, boleh juga dikatakan Perkara 55 (yang merupakan hal spesifik berkaitan prorog dan bubar Parlimen) tidak menyebut keperluan nasihat Perdana Menteri mengatasi Perkara 40 yang bersifat umum.

Katanya, penggunaan perkataan-perkataan yang berlainan di dalam Perkara 39 dan Perkara 40 juga perlulah diteliti.

"Perkara 39 menyatakan tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong, manakala Perkara 40 menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri apabila menjalankan tugas-tugas dan fungsinya di bawah Perlembagaan bukan di dalam melaksana kuasa yang ada pada baginda.

"Oleh yang demikian, saya berpandangan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang jelas sekiranya baginda berkenan membubarkan Parlimen walaupun tanpa nasihat daripada Perdana Menteri.

"Walau apa pun pandangan saya ini, saya akur terdapat pandangan yang berlainan. Namun selagi mana Mahkamah Persekutuan belum memutuskan dengan jelas mengenai tafsiran Perlembagaan Persekutuan ini, tiada pandangan yang tuntas dapat dipegang mana-mana pihak kerana Mahkamah Persekutuan badan yang paling berautoriti mentafsir Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Info

Perincian pembubaran Parlimen di Malaysia mengikut Perkara 55: Perkara 55: Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu PRU hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu.

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.

(6) (Dimansuhkan)

(7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4A) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus