Zara Zya berlapang dada

Zara menganggap ujian kesihatan sebagai penghapus dosa.
Zara menganggap ujian kesihatan sebagai penghapus dosa.
A
A
A

BUKAN satu tetapi empat penyakit sekali gus dihadapi pelakon dan usahawan, Zara Zya tahun lalu sehingga memaksa wanita berusia 39 tahun itu mengambil keputusan untuk berehat.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd Zainuddin tidak mengeluh, jauh sekali merapati nasib, sebaliknya melihat ujian tersebut sebagai penghapus dosa.

Berkongsi keadaannya, anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berkata, kesihatannya kini sudah bertambah baik, namun masih terikat dengan sesi fisioterapi.

“Kisahnya saya asyik rasa penat dan tidak sihat tahun lalu, bila berehat pun rasa badan bertambah tidak sihat. Memandangkan saya bukan jenis yang kerap ke hospital, jadi doktor saran untuk membuat pemeriksaan rapi.

“Hasil pemeriksaan itu mendapati saya menghadapi empat masalah kesihatan iaitu ketumbuhan di buah pinggang kiri, ketumbuhan di ovari, saya juga berdepan masalah tulang belakang dan leher serta artritis (penyakit yang menyebabkan pembengkakan dan rasa sakit pada sendi).

“Jadi, Jun tahun lalu saya jalani pembedahan buang ketumbuhan dan untuk masalah tulang belakang serta artritis, saya masih terikat dengan fisioterapi.

“Kiranya penyakit ini sudah lama wujud dalam badan, cuma saya tidak menyedarinya. Rasa seperti dalam drama televisyen pula bila dapat tahu masalah kesihatan daripada doktor ketika itu,“ ceritanya.

Sudah kembali sihat, Zara bersedia untuk kembali aktif.
Sudah kembali sihat, Zara bersedia untuk kembali aktif.

Bagaimanapun, bintang utama 'Hati Tercarik Luka' itu tetap positif dengan ujian yang dilaluinya dan kini sudah beransur pulih.

Artikel Berkaitan:

Ujar Zara, dia percaya setiap ujian diberikan ALLAH SWT adalah satu bentuk peringatan dan peluang agar lebih menghargai kehidupan.

“Kalau ALLAH tidak beri ujian ini, mungkin masih banyak dosa belum terhapus. Saya anggap diri sebagai insan terpilih untuk menghadapi dugaan tersebut.

“Pada masa sama, saya berharap keadaan akan bertambah baik,” ujarnya baru-baru ini.

Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian Anugerah Skrin 2019 itu juga berharap dapat kembali aktif dalam industri seni tanah air.

“Alhamdulillah, selepas melalui pelbagai ujian, saya diberi kesihatan untuk kembali bekerja. Saya sangat bersyukur dan berharap kesihatan akan terus bertambah baik.

“Siapa yang tidak mahu kembali sihat dan aktif seperti biasa. Saya tahu ramai peminat menantikan drama terbaharu, insya-ALLAH saya akan berikan yang terbaik,” tambahnya.

Sebelum ini, Zara selamat menjalani pembedahan membuang cyst dan fibroid pada Jun tahun lalu. Dia turut dirawat akibat masalah sakit tulang belakang atau sindrom lumbar facet.

Namun, Julai tahun sama pelakon itu sekali lagi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman di bahagian kesan pembedahan.

Aktif

Zara yang turut aktif dalam bidang perniagaan kini kembali menyesuaikan diri dengan jadual kerja dan berharap dapat terus memberikan yang terbaik dalam karier seninya.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Zara berkata, selepas lama berehat, dia kembali dengan drama Dia Imamku yang disiarkan menerusi slot Megadrama Astro Ria.

Zara mengakui pada awalnya gementar untuk menjayakan watak Lily sementelah berasakan karakter tersebut agak berat.

“Alhamdulillah, walaupun karakter Lily berat dengan konfliknya lagi tetapi saya bersyukur kerana keserasian dengan pelakon lain, saya dapat serap dengan cepat.

“Saya harap kemunculan kali ini diterima ramai. Walaupun penat, saya tetap sahut cabaran,“ ujarnya yang bersedia berbincang bersama penerbit atau penulis skrip sebelum menjayakan aksi lasak atau memerlukan tenaga berlebihan.

Tidak hanya sibuk di lokasi penggambaran, sepanjang Ramadan ini, Zara sibuk berniaga kambing grill di sebuah bazar Ramadan di Seksyen 30, Shah Alam.

Menerusi perkongsian di akaun media sosialnya, Zara mengakui terharu dengan sambutan hangat pengunjung.

“Alhamdulillah, tidak menang tangan. Terima kasih kepada anda semua yang menyokong perniagaan saya,“ katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!