Keuzuran halang Razali Buyong terus aktif berlakon

PELAKON veteran yang popular dengan watak Osman dalam drama Opah, Razali Buyong kini banyak menghabiskan masa di rumah atas faktor kesihatan.
Menurut Razali, 83, beliau tidak aktif berlakon drama dan filem sejak mengalami serangan angin ahmar dan menghadapi masalah saraf.
"Sejak saya diserang angin ahmar tahun lalu saya sukar bergerak dan menggunakan tongkat akibat masalah lutut.
"Itulah punca tiada lagi tawaran berlakon kerana semua tahu keadaan kesihatan saya sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ziarah kasih pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin dan Sahabat Amal Selangor di rumahnya di Kampung Pandan di sini baru-baru ini.
Razali yang dijaga isteri Sabiyah @ Misah Mahabot berkata, walaupun ada tawaran berlakon dia kini menghadapi masalah lain kesan daripada peningkatan usianya.
"Saya sukar menghafal skrip macam dulu. Pemikiran sudah sukar mengingat. Mungkin faktor usia menjadikan ia begitu.
"Memang ada kawan-kawan yang sanggup memberi peranan yang sesuai dengan kesihatan saya. Saya rasa tidak mengapalah dalam keadaan saya begini," ujarnya.
Mengimbas permulaan dirinya terjebak dalam dunia lakonan beliau berkata, semuanya bermula di pentas teater pada tahun 1970 yang mana beliau merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Sayembara Majlis Drama Malaysia menerusi drama pentas bertajuk Cengkaman Takdir.
Katanya yang memiliki enam cahaya mata, selain berlakon drama Opah selama 15 tahun sejak 1982 beliau tetap bertugas sebagai Atendan Hospital Kuala Lumpur sebelum bersara awal usia 50an untuk meneruskan perjuangan dalam dunia lakonan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
