PRN Sabah: Tanding solo, strategi Warisan penentu bentuk kerajaan, kata penganalisis

KOTA KINABALU - Parti Warisan mungkin menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan Sabah selepas keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) diumum kelak susulan keputusan parti itu akan bertanding solo.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, Warisan secara sedar telah membuat keputusan untuk bertanding solo dan ia dilihat sebagai strategi politik parti itu dalam menghadapi PRN17.
"Ia dilakukan sebagai strategi untuk 'offer and demand' (tawaran dan permintaan) kepada mana-mana parti politik lain untuk Warisan menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri selepas keputusan PRN17 Sabah diumumkan kelak.
"Ini kerana, Warisan kelihatan begitu yakin akan dapat memenangi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya dalam PRN16 pada tahun 2020, termasuk kerusi-kerusi bekas ADUN yang sudah tidak lagi bersama Warisan" katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Tambah Syahruddin lagi, dominasi kerusi-kerusi DUN berkenaan bakal menyerlahkan penguasaan kawasan yang dianggap kubu kuat Warisan terutamanya di Pantai Timur Sabah.
"Tawaran dan tuntutan kepada mana-mana parti politik yang bertanding secara bergabung (pakatan) akan membolehkan Warisan bersama-sama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan negeri.
"Dalam masa sama, berkemungkinan menuntut jawatan berportfolio, malah mungkin posisi sebagai tampuk Kabinet negeri sekiranya kerusi dimenangi Warisan lebih banyak berbanding kerusi-kerusi DUN yang dimenangi oleh parti-parti politik yang mahu bergabung dengannya.
"Pendek kata, keputusan Warisan untuk bertanding solo ini adalah pendekatan taktikal yang bersandarkan kepada kepercayaan bahawa untuk edisi PRN Sabah 2025 kali ini, tidak ada satu parti politik pun yang boleh memenangi pilihan raya ini secara tunggal melainkan secara relatif hanya dapat mempertahankan kerusi- kerusi DUN yang disandang," katanya.
Sementara itu, Syahruddin turut berpendapat keputusan Warisan mahu bertanding secara solo berpotensi menyebabkan parti-parti politik lain turut bergerak secara solo bagi melaksanakan strategi sepertimana yang dilakukan oleh Warisan.
"Jika keadaan ini berlaku maka, PRN17 akan menyaksikan perebutan kerusi secara banyak penjuru di sesetengah kawasan terutama di kawasan campuran iaitu kawasan yang boleh dimenangi oleh parti politik atas sebab undi protes atau kecenderungan memilih bukan atas sebab parti politik yang bergabung," katanya.
Bagaimanapun, Syahruddin berkata, tidak semua parti akan bertanding secara solo kerana parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) misalnya perlu memenangi PRN17 ini sebagai status quo.
"Oleh itu, GRS termasuk Pakatan Harapan (PH) yang menyokong GRS akan kekal bersaing menggunakan logo GRS.
"Selain itu, kemunculan parti politik tempatan yang jarang diketengahkan berbanding parti politik utama di negeri ini termasuk parti politik baharu juga akan menyebabkan purata pertandingan empat ke enam penjuru di sesetengah kawasan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis dari UMS Profesor Madya Dr Romzi Ationg melihat langkah Warisan itu bertanding secara solo itu wajar kerana selepas pilihan raya berkemungkinan akan wujud pakatan bersama parti lain seperti yang berlaku dalam kerajaan Madani.
"Sekarang ini kita mungkin akan berhadapan dengan kemungkinan selepas pilihan raya baru akan membentuk gabungan seperti yang berlaku dalam kerajaan Madani.
"Namun Warisan perlu bekerja keras untuk bertanding sendiri sebab di kawasan Kadazandusunmurut (KDM), Warisan masih lagi bergelut.
"Kalau Warisan bergerak sendiri tapi jika ada persefahaman dengan parti tertentu yang boleh menidakkan masalah di kerusi KDM ini jadi saya rasa mungkin Warisan masih boleh bersaing kalau menggunakan pendekatan demikian," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!