Banjir kilat landa Pos Sinderut, bantuan segera digerakkan

LIPIS – Hujan lebat berterusan sejak Sabtu mengakibatkan dua perkampungan Orang Asli di Pos Sinderut, Mukim Ulu Jelai di sini terjejas akibat banjir kilat.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lipis dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, hujan yang bermula sekitar jam 9 malam itu menyebabkan Kampung Orang Asli Tual dan Tidul terjejas.
“Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang mengenal pasti rumah yang terjejas manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) giat menjalankan kerja-kerja pembersihan laluan yang dipenuhi pasir dan kayu akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan semua bantuan dan jentera telah digerakkan ke kawasan terlibat bagi memastikan kebajikan penduduk terjamin.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Pegawai Daerah, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim atas tindakan pantas dalam menyalurkan bantuan makanan, peralatan dan logistik kepada penduduk.
“Setakat ini, tiada mangsa dipindahkan dan saya sendiri akan turun padang bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor bagi meninjau keadaan di lokasi terjejas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

