Polis kesan pemandu kereta memotong secara berbahaya

BATU PAHAT - Polis giat mengesan pemandu sebuah kenderaan yang didapati memotong secara berbahaya di Jalan Sri Bengkal, Parit Yaani, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu disedari pada jam 12.42 tengah hari apabila Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) menerima maklumat berkaitan video yang tular di media sosial.
Menurutnya, dalam rakaman video berdurasi 19 saat itu, insiden tersebut hampir menyebabkan pertembungan dengan sebuah kenderaan lain dari arah hadapan.
“Perbuatan memandu secara melulu seperti ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain.
“Oleh itu, kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang didapati melanggar undang-undang jalan raya,” katanya.
Beliau berkata, memandu secara melulu dan berbahaya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, polis kini sedang mengumpulkan bukti bagi mengenal pasti pemandu kenderaan terbabit.
Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Izzam Aziz di talian 017-4364594 atau mana-mana balai polis berdekatan.
"Orang ramai juga boleh menghubungi hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4343999," katanya.
Tambahnya, polis turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan melaporkan sebarang tindakan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
