Resort golf Trump disimbah cat merah, diconteng grafiti pro-Palestin

SCOTLAND – Resort golf milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Turnberry di Scotland, menjadi sasaran vandalisme apabila disimbah cat merah dan diconteng dengan grafiti pro-Palestin, pada awal pagi Sabtu lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, dinding resort berkenaan 'dicemari' dengan tulisan cat merah seperti 'Gaza Not For Sale', 'Free Palestine' dan 'Free Gaza' serta penghinaan terhadap Trump.

Kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu, Palestine Action, dalam siaran kenyataan di platform media sosial X, menyatakan bahawa Trump tidak boleh memperlakukan Gaza sebagai hartanya sendiri.
“Ketika Trump berusaha menganggap Gaza sebagai miliknya, dia harus tahu bahawa hartanya sendiri juga tidak terlepas daripada sasaran,” kata kumpulan tersebut.

Sementara itu, Polis Scotland mengesahkan menerima laporan mengenai kerosakan di premis berkenaan sekitar jam 4.40 pagi waktu tempatan dan siasatan sedang dijalankan.
Dalam reaksi balas, pihak pengurusan Trump Turnberry mengecam tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai perbuatan jenayah yang tidak matang serta menegaskan ia tidak akan menjejaskan operasi mereka.

Insiden itu dipercayai mempunyai kaitan dengan cadangan kontroversi Trump untuk mengambil alih Gaza dengan mengusir penduduk Palestin, satu rancangan yang mendapat kecaman antarabangsa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

