Saifuddin angkuh, patut sambut baik saranan Takiyuddin - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Maklum balas Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menunjukkan sikap angkuh kepimpinan kerajaan hari ini.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia juga mencerminkan Kerajaan Madani berkuasa menentukan sama ada seseorang individu itu layak disiasat dan dihukum atau tidak.

Menurutnya, tindakan mengugut dengan berkata ramai pemimpin pembangkang yang akan dikenakan tindakan jika undang-undang agama, kaum, dan institusi diraja (3R) dikuatkuasakan menampakkan bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada mereka selain anggota parti kerajaan.

"Hakikatnya, banyak kenyataan dan tindakan bersifat provokatif yang dilakukan bukan hanya dari rakyat bawahan, tetapi ia juga datang daripada anggota parti kerajaan berjawatan.

"Mereka sendiri dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam.

"Tak perlu untuk saya nyatakan di sini kerana terlalu banyak tindakan yang mengguris perasaan rakyat dibuat," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution menegaskan bahawa sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mencetuskan ketegangan dalam masyarakat, pemimpin pembangkang akan menjadi kumpulan yang paling ramai terlibat.

Beliau mengingatkan agar pemimpin politik tidak lagi menjadikan isu berkaitan 3R sebagai modal politik kerana ia boleh menimbulkan ketidakstabilan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Tambah Tuan Ibrahim, sepatutnya menteri KDN menyambut baik saranan Setiausaha Agung Pas yang mendesak kerajaan bertindak segera terhadap mana-mana kenyataan yang bersifat provokatif mengenai keharmonian hidup berbilang kaum di Malaysia.

"Pas sebagai parti gerakan Islam sentiasa menjunjung tinggi keadilan sebagai asas kepada tindakan.

"Kita mahu semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau pegangan politik menghormati kebebasan beragama berlandaskan perlembagaan negara Malaysia.

"Pas membuktikan apabila negeri yang diperintah oleh Pas tidak mempunyai kejadian pergaduhan antara kaum pada 1969 walaupun terdapat insiden pergaduhan kaum di negeri-negeri lain ketika peristiwa rusuhan antara kaum pada 1969," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengajak semua pihak agar bertenang dan sentiasa menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.

"Bersempena dengan bulan Ramadan, bulan di mana al-Quran diturunkan, mari kita semua jadikan kitab suci ini sebagai panduan dalam melaksanakan urusan bernegara serta bermasyarakat," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!