'Saya tak sedap hati pelanggan rugi, mahu pulangkan wang mereka'

KOTA BHARU - Seorang peniaga kuih di Kampung Pengkalan Batu, Pasir Mas tidak mempedulikan kerugiannya apabila mahu memulangkan wang kepada kesemua pelanggan kuih buah tanjungnya yang dikatakan sudah basi.
Raja Anita Raja Mukhtar, 53, membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh seorang pelanggan selepas menikmati kuih itu ketika berbuka puasa.
Menurutnya, kuih buah tanjung itu diambil daripada seorang pembuat kuih untuk dijual di kedainya bersama banyak lagi juadah lain.

"Saya tidak sedap hati memikirkan kerugian pelanggan dan mahu memulangkan wang mereka," katanya kepada Sinar Harian.
Kongsinya lagi, kejadian berlaku pada hari ketiga Ramadan iaitu ramai pelanggan membeli kuih berkenaan dengan harga RM5 dan RM10 sepeket termasuk sepupunya.
"Saya dimaklumkan oleh sepupu kira-kira jam 11.30 malam bahawa kuih itu sudah masam dan pada masa sama suami juga memberitahu ramai pelanggan membeli antara dua hingga tiga peket buah tanjung," katanya.
Selepas memikirkan cara terbaik berkongsi perkara itu, Raja Anita kemudian memuat naik di Facebook walaupun kemungkinan banyak komen negatif.
"Saya tidak peduli kerana paling penting ialah memaklumkan kepada pelanggan kerana kami semua tidak tahu keadaan kuih yang sudah dimasukkan dalam peket," ujarnya lagi.
Raja Anita juga bersedia mengembalikan semula wang jika ada pelanggan yang datang menuntutnya kerana itu hak mereka.
Jelasnya lagi, sebagai peniaga beliau perlu jujur kerana merupakan antara kunci rezeki sama ada ketika Ramadan atau pada bulan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
