Ajaran sesat ubah Rukun Islam jadi 11, pergi haji naik gunung

MAROS - Ajaran sesat ini kembali heboh diperkatakan komuniti setempat.
TribunMaros.com menerusi laporan mereka mendedahkan kumpulan yang bergerak secara aktif di Kabupaten Maros, Sulawesi Selatan di Indonesia itu dipimpin Petta Bau, 56.
Wanita itu menamakan aliran sesat itu sebagai Pangisenganna Tarekat Anak Loloa dan mula disebarkan sejak tahun lalu serta mempunyai hampir 30 pengikut.
Pada dasarnya, ajaran Pangisenganna Tarekat Anak Loloa itu dikatakan mirip dengan Islam meskipun ia sebenarnya jauh terpesong.
Petta Bau turut mengubah Lima Rukun Islam kepada 11 malah dia menyatakan ibadah haji tidak perlu ditunaikan di Tanah Suci Makkah dan hanya perlu mendaki Gunung Bawakaraeng.
Selain itu, wanita itu juga menjual barang pusaka yang kononnya boleh digunakan pengikutnya untuk masuk ke syurga.
Ajaran sesat itu terbongkar setelah wujud transaksi mencurigakan tentang barang pusaka.
Kepala KUA Tompobulu, Danial berkata, beliau sudah bertemu dengan Petta Bau dan para pengikutnya pada tahun lalu.
"Pasukan kami juga turun padang di daerah Bontosomba untuk mencegah penyebaran Pangisenganna Tarekat Anak Loloa tersebut," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

