Pemuda Pas serah pimpinan pilih calon PRK, optimis undi muda memihak PN

IPOH - Pemuda Pas Perak menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat untuk memilih calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadualkan pada 26 April depan.
Ketuanya, Hafez Sabri berkata, Pemuda Pas tidak mengemukakan sebarang calon khusus dalam kalangan sayap itu memandangkan nama yang dicadangkan telah dikemukakan oleh Pas Kawasan Tapah.
Menurutnya, jentera Pemuda Pas bersama rakan-rakan di dalam Perikatan Nasional (PN) hanya mahu menumpukan kerja-kerja memastikan kemenangan calon mewakili PN itu nanti.
“Kami mendukung sepenuhnya siapa sahaja calon yang diputuskan oleh parti. Fokus utama kami adalah memastikan kemenangan Pas dan PN di kerusi DUN Ayer Kuning tanpa mengira latar belakang calon.
"Pemuda Pas Perak tidak meletakkan syarat bahawa calon perlu datang daripada golongan muda, sebaliknya menekankan faktor kebolehan serta keupayaan calon untuk menang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Hafez turut menegaskan bahawa undi pengundi muda akan menjadi faktor penting dalam menentukan kemenangan PRK kali ini.
“Kajian kami menunjukkan bahawa pengundi muda merupakan kumpulan terbesar di DUN Ayer Kuning. Ini memberi kelebihan kepada Pas kerana trend pengundi muda kini lebih cenderung kepada PN.
“Justeru, kami akan memberi tumpuan penuh kepada pendekatan mendekati pengundi muda dengan memastikan isu-isu utama seperti kos sara hidup dan kebajikan mereka diketengahkan dalam kempen,” katanya.
Beliau turut melihat saingan PRK kali ini akan menjadi sengit sekiranya Barisan Nasional (BN) mengetengahkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi sebagai calon pada PRK berkenaan.
Jelas beliau, walaupun di atas kertas kelebihan memihak kepada BN yang dibantu oleh Pakatan Harapan (PH), PN diramal mampu memberi saingan sengit dan membuat kejutan.
Beliau juga optimis bahawa Pas dan PN berpeluang besar untuk memenangi PRK tersebut sekiranya strategi yang betul digunakan serta sentimen rakyat terhadap kerajaan sedia ada diterjemahkan dalam bentuk undi.
Hafez yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat turut menyatakan bahawa sayap parti itu sudah bersedia menghadapi PRK dengan tahap persiapan jentera yang sudah mencapai maksimum.
Beliau berkata, semua gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN telah dimulakan sejak awal dan kini memasuki fasa akhir sebelum PRK berlangsung.
“Persiapan kami telah dimulakan sebaik sahaja kerusi ini kosong dan kini kami dalam fasa memperkukuhkan strategi serta memperhebatkan gerak kerja di lapangan.
“Jentera Pemuda Pas Perak akan berkampung sepenuhnya di Ayer Kuning bagi memastikan kemenangan PN,” katanya.
Menurut Hafez, pembahagian tugas Unit Daerah Mengundi (UDM) telah diselesaikan dan jentera sudah mula bergerak di peringkat akar umbi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat mengumumkan tarikh bagi Penamaan Calon PRK DUN Ayer Kuning akan dilaksanakan pada 12 April depan, diikuti Undi Awal pada 22 April manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

