MIHAS kembangkan sayap global di Shanghai

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan edisi kedua peringkat antarabangsa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai, China.
MATRADE dalam satu kenyataan berkata, MIHAS@Shanghai dijadualkan berlangsung mulai 5 hingga 10 November ini, yang dianjurkan bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) 2025.
"Acara berprestij ini menyediakan platform utama bagi perniagaan Malaysia untuk mempamerkan produk dan meluaskan keberadaan pasaran mereka di China, seterusnya meningkatkan daya saing mereka di peringkat global," katanya.
Sebelum ini, pameran MIHAS@Dubai telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Dubai pada 18 hingga 20 Nov 2024.
Mengulas selanjutnya MATRADE berkata, bersempena dengan penyertaannya dalam acara itu, ia telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Biro CIIE untuk memperteguh hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.
"Majlis pemeteraian itu berlangsung di Persidangan Promo CIIE ke-8 di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang melambangkan komitmen kedua-dua pihak untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala dan menambah baik akses pasaran untuk pengeksport Malaysia,” katanya.

MoU berkenaan dimeterai antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE Abu Bakar Yusof dan Pengurus Besar Jabatan Pameran CIIE Fang Hui, disaksikan oleh Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, CEO MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Eksekutif CIIE Wu Zhengping.
Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan gabungannya yang kukuh secara strategik, mempercepat pertumbuhan bersama dan mencipta peluang baharu demi kejayaan.
"Menerusi acara antarabangsa, syarikat Malaysia akan mendapat laluan terus untuk mengembangkan jangkauan pasaran ke China dan sekitarnya," katanya.
Justeru MATRADE mempelawa syarikat-syarikat Malaysia untuk merebut peluang di MIHAS@Shanghai dan mereka yang berminat boleh menghubungi 03-6207 780 untuk pertanyaan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
