[VIDEO] ACLE: 80 periuk bubur lambuk untuk penyokong JDT
JOHOR BAHRU – Sebanyak 80 periuk bubur lambuk akan dimasak sempena perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Buriram United pada aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACL Elite) 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa depan.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ia merupakan inisiatif berbuka puasa bersama para penyokong JDT sebagaimana dititahkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
"Tunku Mahkota Ismail telah menitahkan agar makanan berbuka puasa disediakan secara bungkus untuk diberikan kepada penyokong yang hadir dan dimakan di stadium.
"Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjunjung titah dan telah mengarahkan saya bersama rakan-rakan dari jabatan serta agensi berkaitan untuk menganjurkan program bubur lambuk. Kemungkinan akan ada kolaborasi dengan syarikat korporat,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bazar Ramadan Plaza Angsana di sini, pada petang Khamis.

Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin menambah penyediaan bubur lambuk di Stadium Sultan Ibrahim pernah dilakukan sebelum ini dan menerima sambutan amat baik daripada penyokong.
"Ketika perlawanan akhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC pada bulan Ramadan, dua tahun lalu, bubur lambuk turut disediakan kepada penyokong.
"Kali ini selain bubur lambuk, hidangan lain seperti kurma, kuih-muih, serta mi kawah pasar malam turut disediakan bagi kira-kira 20,000 pengunjung.
Beliau seterusnya menyeru seluruh Bangsa Johor dan warga Malaysia untuk hadir beramai-ramai hadir ke stadium bagi memberikan sokongan penuh kepada JDT.
"Lebih menarik, kira-kira 5,000 sukarelawan Darul Ta'zim akan terlibat dalam menjayakan program bubur lambuk kali ini.
"Penyokong yang hadir juga tidak perlu bimbang tentang solat di stadium turut disediakan ruang solat bagi menunaikan solat Maghrib," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Hairi memaklumkan bahawa tiket perlawanan terbabit telah habis dijual.
Perlawanan pada Selasa depan, merupakan pertemuan kedua antara JDT dan Buriram dalam ACL Elite musim ini selepas seri tanpa jaringan dalam saingan peringkat liga di Stadium Sultan Ibrahim, Disember lepas.
Perlawanan ini menjadi tumpuan peminat bola sepak Asia Tenggara kerana kedua-dua pasukan merupakan antara lapan kelab terbaik di zon Timur kejohanan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


