Kadar baharu Pemberian Mengikut Bilangan Orang naik 25 peratus

PUTRAJAYA - Kerajaan meluluskan kadar baharu bagi Pemberian Mengikut Bilangan Orang berkuat melibatkan kenaikan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta, berkuat kuasa tahun depan.
Perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Menerusi kenyataan, beliau memaklumkan semakan kadar tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk membantu kerajaan negeri menyempurnakan perkhidmatan kepada rakyat.
"Ini merupakan julung kalinya kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang dikaji semula sejak tahun 2002," katanya.
Ujar Anwar, mesyuarat yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri besar serta ketua menteri juga telah meluluskan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT).
"Tumpuan Kerajaan Madani untuk memelihara dan memulihara alam sekitar terbukti dengan peningkatan peruntukan EFT daripada RM150 juta pada tahun 2023 kepada RM200 juta pada tahun 2024, dan seterusnya RM250 juta untuk tahun ini," jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri mencecah RM9.3 bilion pada tahun lalu dan ditingkatkan lagi dengan peruntukan RM9.8 bilion untuk tahun ini demi manfaat semua rakyat Malaysia.
"Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembangunan
terangkum, di mana projek pembangunan baharu yang telah diluluskan dalam
Belanjawan 2025 diselaraskan dengan mengambil kira keutamaan setiap kerajaan negeri.
"Peruntukan bagi program pertanian secara kerjasama dengan kerajaan negeri telah dilonjakkan kepada RM300 juta bagi tahun 2025 daripada RM150 juta pada tahun 2024," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

