Media dihalang bertemu MB Terengganu

Ahmad Samsuri ketika beredar dari majlis di Hotel Primula di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri ketika beredar dari majlis di Hotel Primula di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Petugas media dihalang bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas beliau menghadiri Majlis Pelancaran Wakaf Perkuburan Islam Paya Bunga, di Hotel Primula, di sini pada jam 4 petang tadi.

Kira-kira 10 pengamal media menunggu untuk mendapatkan reaksi pemimpin berkenaan berhubung situasi semasa politik negara.

Ahmad Samsuri yang sedang berjalan memasuki lif ditanya berkaitan situasi politik kini namun tidak sempat menjawab kerana pintu lif tertutup.

Pihak media berusaha mendapatkan beliau yang ketika itu berada di pintu masuk lobi hotel namun dihalang oleh petugas media menteri besar yang bertindak menyekat pintu ketika beliau cuba berinteraksi selepas diajukan soalan.

Situasi yang berlaku dalam tempoh tidak sampai lima minit itu menimbulkan sedikit kekecohan di pintu masuk ke lobi hotel berkenaan.

Maklumat awal diterima bahawa masa pemimpin menteri besar itu terhad namun tidak dimaklumkan bahawa beliau tidak mahu mengadakan sebarang sidang media.

Sebelum itu sekumpulan petugas media sudah menunggu selama dua jam setengah untuk bertemu Ahmad Samsuri bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari ketika beliau menghadiri mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini.

Bagaimanapun, pihak media juga tidak dimaklumkan bahawa pemimpin itu tidak mahu mengadakan sebarang sidang media sebaliknya diberitahu beliau menuju ke Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: