Pegawai SPRM di UI, IGU digesa kenal pasti peraturan lapuk

SHAH ALAM - Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditempatkan di Unit Integriti (UI) atau Unit Integriti dan Governans (IGU) agensi luar digesa mengenal pasti kelemahan sistem dan prosedur termasuk undang-undang mahu pun peraturan lapuk.
Ini bagi menambah baik terutamanya penambahbaikan tatakelola berskala besar.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, pegawai Integriti perlu memantau pelaksanaan khidmat nasihat atau cadangan penambahbaikan tatakelola yang diberi kepada kementerian, jabatan dan agensi di bawah seliaan bagi memastikan ia tercapai seperti disasarkan.
"Pelaksanaan Inisiatif Pemantapan Tatakelola dan Antirasuah adalah melalui penganjuran program serta aktiviti kementerian agensi secara spesifik seperti program ceramah dan sesi dialog berkaitan antirasuah oleh ketua setiausaha, ketua pengarah, naziran mengejut serta penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP).
"Pegawai SPRM yang ditempatkan di UI atau IGU hendaklah memainkan peranan dan tanggungjawab serta dapat memberi sumbangan dalam apa jua inisiatif pencegahan rasuah di agensi masing-masing," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya, kemahiran sebagai pegawai SPRM hendaklah digunakan sepenuhnya dan dimanfaatkan.
Kata Azmi, ini bagi memastikan aktiviti pencegahan rasuah, pengukuhan integriti dan pemantapan tatakelola dapat diteruskan di dalam agensi ditempatkan.
6 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pegawainya akan dilantik sebagai Ketua Unit Integriti (KUI) di semua kementerian selepas cadangan itu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 3 Bil 3 Tahun 2024 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kata Azam, ini untuk mengatasi kesukaran kementerian dalam mengendalikan isu tatakelola di kementerian masing-masing, apabila ketua unitnya bukan daripada SPRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
