Polis rekod keterangan Cecelia Yap

KUALA LUMPUR - Polis merekod keterangan pemilik akaun Facebook 'Cecelia Yap Song KL' pada Isnin.
Ini bagi membantu siasatan berhubung hantarannya di ruangan komen akaun Facebook pelawak popular, Harith Iskander mengenai isu 'ham' yang didakwa menghina agama Islam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses rakaman percakapan wanita berusia 65 tahun yang juga pesara jururawat swasta itu dibuat bermula jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Menurutnya, sebanyak 21 soalan ditanya kepada wanita itu.
“Satu telefon bimbit dan kad sim turut dirampas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 (c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara esok (Selasa) untuk arahan selanjutnya,” katanya pada Isnin.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Cecelia Yap menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya Saibullah MV Nathan dan Co berkata, dia amat kesal atas kenyataan sensitif disiarkan di dalam media sosial sehingga menyinggung perasaan orang ramai.
Cecelia berkata, dia dengan rasa rendah diri menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan insiden ini.
Terdahulu, pelawak dan juga pelakon Harith Iskander memuat naik hantaran di dalam Facebook memaparkan menu kedai kopi dengan item bernama ‘Ham Sap Kopi’.
Harith dikatakan secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi sebelum itu apabila kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di sebuah pusat pengajian tinggi.
Jenaka sindirannya disambut pula dengan komen Cecelia Yap yang dipercayai mengaitkan isu berkenaan nama Nabi Muhammad.
Razarudin kemudian mengesahkan sudah merakam keterangan Harith Iskander pada 22 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!