Mekanik tanam tebu 10 bulan sebelum Ramadan

Nik Faris berada di kawasan kebun tebunya di Ketereh.
Nik Faris berada di kawasan kebun tebunya di Ketereh.
A
A
A

KOTA BHARU - Cuaca panas sepanjang awal Ramadan rezeki buat seorang mekanik di Kampung Jal, Ketereh yang mengusahakan tanaman tebu apabila mendapat permintaan tinggi daripada peniaga air tebu.

Nik Faris Ab Aziz, 53, berkata, walaupun menanam tebu merupakan kerja sampingannya, namun dia memperoleh pendapatan lumayan daripada tanaman tebu seluas 0.8 hektar diusahakannya.

"Saya merancang menanam tebu 10 bulan sebelum Ramadan kerana permintaan meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

"Penjual air tebu akan mengambil tebu antara 1,000 hingga 5,000 batang sehari seawal jam 9 pagi untuk jualan mereka," katanya ketika ditemui di kebunnya di Ketereh pada Rabu.

Nik Faris memotong tebu untuk pelanggan yang menjual air tebu
Nik Faris memotong tebu untuk pelanggan yang menjual air tebu

Menurut bapa kepada lima anak ini, antara jenis tebu yang ditanam ialah tebu hijau, tebu kuning, tebu telur dan tebu hitam.

Katanya lagi, harga sebatang tebu yang dijual ialah RM2.50 berbanding RM2 sebelum ini berikutan kenaikan harga baja dan racun tanaman.

"Saya menerima tempahan seminggu sebelum Ramadan daripada peniaga air tebu dan hasilnya dapat menampung pendapatan selain membaiki motosikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, cabaran menanam tebu ialah cuaca kemarau dan tali air berdekatan kebunnya kering.

"Tahun lalu lebih 5,000 tanaman tebu saya mati akibat cuaca panas menyebabkan kerugian mencecah ribuan ringgit," katanya.

Bagaimanapun katanya tahun ini, hujan lebat beberapa hari sebelum puasa membolehkan tanamannya membesar dengan baik dan tali air juga tidak kering.

Selain itu, Nik Faris menjual air tebu berdekatan rumah sepanjang Ramadan bagi memenuhi permintaan penduduk kampung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!