Parlimen Serbia jadi 'medan tempur'

BELGRADE - Sesi Parlimen Serbia bertukar kecoh pada Selasa selepas pembangkang melemparkan bom asap dan menggunakan semburan lada sebagai tanda protes terhadap kerajaan.
Kejadian menggemparkan itu berlaku selepas beberapa ahli politik pembangkang menyerbu Speaker Parlimen, Ana Brnabic ketika sidang bermula hingga mencetuskan pergelutan.
TV tempatan yang menyiarkan secara langsung insiden itu menunjukkan kepulan asap hitam dan merah jambu memenuhi ruang dewan tersebut.
Beberapa anggota pembangkang lain turut melemparkan telur dan membaling air ke arah anggota parti pemerintah, Parti Progresif Serbia (SNS) hingga mengakibatkan keadaan menjadi tidak terkawal.
Insiden pergaduhan itu telah menyebabkan tiga anggota Parlimen cedera manakala Jasmina Obradovic daripada Parti SNS diserang strok.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Ivica Dacic memberitahu ahli Parlimen yang mencetuskan kekecohan itu bakal dikenakan tindakan tegas dan tidak akan dilindungi imuniti.
Protes itu dilancarkan sebagai menyokong gerakan demonstrasi mega kumpulan pelajar selama empat bulan yang membantah korupsi dan ketidakcekapan meluas di bawah kerajaan pimpinan Presiden Aleksandar Vucic. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

