Lelaki ditahan kes jumpa peluru di tempat buang sampah

GEORGE TOWN- Polis berjaya menyelesaikan kes penemuan peluru yang dilaporkan pada Selasa dalam tempoh 24 jam selepas seorang lelaki tampil mengaku sebagai individu yang meletakkan peluru tersebut di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, lelaki tempatan itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) ketika disoal siasat pada jam 1 petang, Rabu.
"Hasil soal siasat terhadap lelaki berusia 46 tahun itu mendapati, dia sendiri yang meninggalkan beg berisi peluru berkenaan di tempat kejadian dengan tujuan untuk pelupusan sebelum menghubungi pihak berkuasa.
“Lelaki itu yang dijadikan sebagai saksi memaklumkan bahawa peluru tersebut dijumpai di sebuah rumah ketika dia menjalankan kerja-kerja pembersihan di premis berkenaan pada tahun 2024,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Swee Sake menambah, pasukan siasatan IPDTL masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan keterangan lelaki berkenaan.
"Kes ini berjaya diselesaikan dalam masa singkat hasil tindakan pantas pihak polis.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," jelasnya.
Terdahulu, penduduk di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul, di sini gempar apabila menemui sebuah beg berisi peluru di tempat pembuangan sampah.
Polis menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 1.40 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Hasil pemeriksaan mendapati beg berkenaan mengandungi sejumlah peluru hidup dan kosong jenis kaliber.22 yang ditinggalkan oleh individu tidak dikenali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

