Kerajaan terus pantau, nilai kemajuan pelaksanaan JS-SEZ

SHAH ALAM - Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memantau dan menilai kemajuan pelaksanaan Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) serta satu surat niat yang dimeterai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Januari lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama yang melibatkan kementerian, agensi berkaitan dan kerajaan negeri Johor itu dibuat agar ia berjalan mengikut kerangka yang telah dipersetujui selain memastikan kedaulatan negara terus dipelihara.
Menurutnya, kesemua perjanjian telah diteliti dan diperhalusi dengan mendalam oleh agensi peneraju iaitu Jabatan Peguam Negara (AGC), kementerian serta agensi berkaitan yang mempunyai kepentingan dalam setiap dokumen tersebut.
"Bagi JS-SEZ, proses rundingan telah dijalankan secara teratur dengan melibatkan semua pemegang taruh sejak tahun 2023. Kerajaan turut memastikan bahawa setiap klausa yang dipersetujui selari dengan kepentingan Malaysia.
"Penubuhan JS-SEZ adalah satu inisiatif unik di mana kedua-dua negara saling melengkapi dengan menggunakan kelebihan masing-masing bagi menarik pelaburan yang lebih besar ke negeri Johor.
"Ia juga termasuk dalam merancakkan lagi pembangunan infrastruktur, daya saing serta mewujudkan rantaian nilai yang lebih kukuh dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan," katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (PH) mengenai jaminan kerajaan Persekutuan bahawa perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua Perdana Menteri itu meneliti untuk menjaga kepentingan nasional Malaysia dan Johor dari aspek kedaulatan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, enam MoU dan surat niat yang dimeterai melibatkan bidang pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan akan mempertingkatkan kerjasama dua hala dalam bidang-bidang tersebut dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada Malaysia dari segi pembangunan sosio ekonomi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

