Kemelut politik tak jejaskan pentadbiran Kedah

Ammar. Gambar kanan: Surat yang diedarkan kepada semua ketua jabatan negeri, Persekutuan, pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun di Kedah.
Ammar. Gambar kanan: Surat yang diedarkan kepada semua ketua jabatan negeri, Persekutuan, pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun di Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Pentadbiran kerajaan Kedah tidak terjejas susulan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, semua kakitangan kerajaan negeri diminta fokus melaksanakan tugas tanpa dipengaruhi krisis politik sehingga menjejaskan perkhidmatan.

Menurutnya, buat masa ini pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

“Kakitangan awam yang berkhidmat di negeri Kedah dimohon supaya meneruskan tugas dan tidak terganggu serta terpengaruh dengan spekulasi yang boleh jejaskan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Surat bertarikh 25 Februari itu diedarkan kepada semua ketua jabatan negeri, Persekutuan, pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun di Kedah.

Ammar berkata, urus tadbir kerajaan negeri perlu diteruskan bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat tidak terjejas dan berjalan lancar.

Pengunduran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Pakatan Harapan (PH) menyebabkan kerajaan Kedah turut terjejas. PH Kedah dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP memiliki 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu (PKR-7, Amanah-4, DAP-2) berbanding Pas (15) dan Barisan Nasional (2).

Bersatu hanya memiliki enam kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi. Kedudukan ini menyebabkan Bersatu tidak dapat membentuk kerajaan negeri sendiri, dan sekiranya Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu kekal sebagai Menteri Besar, Bersatu perlu dapatkan sokongan PH dengan beroleh majoriti dua kerusi atau memilih bekerjasama dengan Pas dan BN untuk membentuk kuasa di DUN (23-13).

Artikel Berkaitan: