Pengeluaran KWSP pencarum terdesak: Kajian lengkap perlu dibuat
SHAH ALAM - Kajian menyeluruh perlu dibuat terlebih dahulu untuk melihat kewajaran membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kes-kes kritikal atau mendesak.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini termasuk kemungkinan menambah dasar baharu bagi kes-kes tertentu seperti pencarum kehilangan pekerjaan.
Namun, menurut beliau, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah pun mempunyai dasar bagi membantu golongan terbabit menerusi Skim Insurans Pekerjaan (EIS).
“Kalau ditanya apa lagi perlu ditambah baik dengan menggunakan simpanan KWSP ini, saya rasa satu kajian menyeluruh perlu dibuat. Sebelum ini pihak KWSP sering menekankan bahawa ramai pencarum tidak memenuhi simpanan asas untuk persaraan.
“Saya faham niat untuk membantu itu baik, tetapi kena betul-betul jelas dasar sedia ada sekarang ini mencukupi atau tidak. Jika ada keperluan, mungkin boleh difikirkan bagaimana cara untuk menggunakan dana KWSP itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pertimbangan kerajaan terhadap pengeluaran akaun KWSP bagi pencarum yang terdesak dengan kos sara hidup seperti diberhentikan kerja dan tidak mempunyai pendapatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata, KWSP boleh memberi pertimbangan khas bagi pengeluaran dana simpanan melibatkan kes-kes tertentu yang kritikal meskipun di luar syarat dan kaedah sedia ada.
Sementara itu, Mohd Afzanizam berpandangan, KWSP tidak perlu memperkenalkan sebarang skim pengeluaran baharu bagi kes-kes kritikal.
Menurut beliau, Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP yang diperkenalkan sudah pun merangkumi pelbagai tujuan pengeluaran tanpa melalui syarat ketat.
“10 peratus duit daripada caruman masuk dalam Akaun 3. Daripada situ kita sudah boleh mengeluarkannya pada bila-bila masa walaupun tanpa tujuan khusus,” katanya.
Tambah beliau, KWSP sudah pasti mempunyai syarat-syarat ketat untuk membuktikan bahawa pencarum benar-benar terdesak untuk membuat sebarang pengeluaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

