Beg berisi peluru ditemukan di tempat pembuangan sampah di Bukit Jambul

GEORGETOWN - Penduduk di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di sini gempar apabila menemui sebuah beg berisi peluru di tempat pembuangan sampah petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 1.40 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati beg berkenaan mengandungi sejumlah peluru hidup dan kosong jenis kaliber.22 yang ditinggalkan oleh individu tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
"Polis sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Aishah Izati Zaidi di talian 011-21544465,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang awam agar tidak menyimpan atau memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran, kerana ia merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan tegas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
